LONDON, 19 FEB – Pemain pertahanan Arsenal, Takehiro Tomiyasu, akan terlepas baki musim ini selepas menjalani pembedahan pada lutut kanannya, umum pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris itu hari ini.
Pemain antarabangsa Jepun berusia 26 tahun itu hanya membuat satu penampilan sejak mengalami kecederaan yang dialaminya ketika pramusim.
The Gunners berdepan beberapa masalah kecederaan sepanjang kempen musim ini, dengan Kai Havertz dan Gabriel Jesus turut tersisih sepanjang musim, manakala Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli kini masih diketepikan.
“Takehiro Tomiyasu telah menjalani pembedahan berjaya bagi menangani masalah lutut kanannya yang pertama kali dialami ketika pramusim,” kata kenyataan Arsenal.
“Walaupun telah menjalani prosedur pembedahan awal pada Ogos, diikuti dengan kembali ke latihan penuh serta tampil sebagai pemain gantian dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di tempat sendiri menentang Southampton pada Oktober, Tomi terus mengalami masalah dengan lututnya, yang akhirnya memerlukan satu lagi prosedur pembedahan pembetulan.
“Tomi kini akan memulakan program pemulihan dan rehabilitasi, yang dijangka selesai menjelang hujung tahun ini.” – AFP
