Tuesday, December 31, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arsenal tewaskan Ipswich naik tangga kedua

    LONDON, 29 DIS – Arsenal tanpa Bukayo Saka menewaskan Ipswich 1-0 untuk mara ke tangga kedua Liga Perdana dan mengejar Liverpool dengan enam mata kelmarin.

    Kai Havertz menjaringkan gol tunggal ketika Arsenal gagal mengubah dominasi mereka menghasilkan lebih banyak jaringan.

    Kekurangan penjaring gol klinikal mungkin menyebabkan pasukan Mikel Arteta kehilangan gelaran liga pertama dalam tempoh lebih 20 tahun, tetapi mereka mengambil kesempatan daripada kekalahan mengejut 2-1 Chelsea menentang Fulham pada Khamis lalu untuk menjadi pencabar terdekat Liverpool.

    Saka pula bakal diketepikan selama ‘berminggu-minggu’ menurut Arteta berikutan kecederaan hamstring yang dialami dalam kemenangan 5-1 di Crystal Palace hujung minggu lalu.

    Arteta bermula dengan meletakkan Gabriel Martinelli dalam peranan Saka dengan Gabriel Jesus di hadapan selepas menjaringkan lima gol dalam dua perlawanan Arsenal sebelum ini.

    Pasukan tuan rumah dominan dalam penguasaan bola tetapi mempunyai sedikit peluang yang jelas untuk menunjukkannya sehingga suku akhir.

    “Kekecewaan apabila awda menang? Tidak. Perkara yang perlu diperbaiki? Ya,” kata Arteta pada margin kemenangannya yang tipis.

    “Kredit kepada mereka kerana mereka tersusun dengan sangat baik, tetapi kami juga menyekat mereka,” tambahnya.

    Arsenal yang dikecewakan Everton setelah seri 0-0 dalam perlawanan terakhir di Emirates menjadi lega apabila Havertz memecah kebuntuan pada minit ke-23.

    Pemain Jerman itu menahan bola tinggi ke dalam gawang hasil hantaran lintang rendah Leandro Trossard menghasilkan gol ke-12nya musim ini.

    Jesus pula dapat melakukan jaringan di antara kaki Arijanet Muric dari sudut yang hampir mustahil, namun dihukum ofsaid.

    Keputusan akhir meletakkan Arsenal mara ke tempat kedua mengatasi Nottingham Forest dan Chelsea. – AFP

    Aksi Omari Hutchinson (kiri) mencabar Leandro Trossard semasa perlawanan bola sepak antara Arsenal dan Ipswich di Stadium Emirates di London kelmarin.  – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda