LONDON, 28 APRIL – Stan Kroenke tidak akan melayan sebarang tawaran untuk membeli Arsenal walaupun pemilik dari Amerika Syarikat itu didesak melepaskan kelab.
Ribuan penyokong Gunners berkumpul di luar Stadium Emirates sebelum kekalahan 1-0 kepada Everton Jumaat lalu selepas kelab itu menyertai kumpulan 12 pasukan yang mahu menubuhkan Liga Super Eropah.
Arsenal, bersama-sama lima lagi kelab Inggeris, menarik diri daripada perancangan berkenaan hanya 48 jam selepas dikecam peminat, pemain, badan induk serta kerajaan British.
Pada hari yang sama, pengasas Spotify Daniel Ek berkata dia berhasrat mengambil alih kelab dan akan membawa legenda-legenda Arsenal – Thierry Henry, Patrick Vieira dan Dennis Bergkamp – sebagai penasihat kelab.
“Akhir-akhir ini kita melihat spekulasi media berkenaan usaha mengambil alih Kelab Bola sepak Arsenal Football.

“Kami kekal komited 100 peratus untuk Arsenal dan tidak akan menjual sebarang saham dalam kelab ini.
“Kami belum menerima sebarang tawaran dan kami tidak akan melayan jika ada tawaran.
“Cita-cita kami bersama Arsenal kekal untuk bersaing memenangi trofi utama dan fokus kami adalah memastikan tahap persaingan di atas padang terus ditingkatkan,” kata Kroenke Sports & Entertainment (KSE).
Di atas padang, Arsenal kini menghuni tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris dan bakal mencatat penamat terburuk liga sejak tahun 1995.
Bagaimanapun musim memalukan ini dapat ditebus sekiranya mereka memenangi Liga Europa dan kembali ke Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam tempoh lima tahun. Skuad kendalian Mikel Arteta akan bertandang ke Villareal, yang dikendali bekas bos Arsenal Unai Emery, pada aksi separuh akhir pertama Liga Europa esok. – AFP