Tuesday, April 15, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arsenal tidak terganggu dengan keputusan seri

    LONDON, 13 APRIL – Mikel Arteta tegaskan tumpuan Arsenal tidak terganggu menjelang pertembungan Liga Juara-Juara menentang Real Madrid apabila seri 1-1 menentang Brentford kelmarin.

    Pasukan Arteta sebenarnya perlu menang untuk kekalkan harapan samar mereka dalam mengejar pendahulu Liverpool.

    Tetapi gol pembukaan Thomas Partey pada minit ke-61 telah berjaya dibalas oleh jaringan Yoane Wissa pada minit ke-74.

    Arsenal tidak berada pada tahap terbaik mereka walaupun telah menumpaskan Real 3-0 pada perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara Selasa lalu.

    Dengan perlawanan kedua yang semakin hampir Rabu nanti, ia akan dapat difahami jika Arsenal terganggu tetapi Arteta menafikannya.

    “Sudah tentu tidak (terganggu). Untuk membuat persediaan yang baik, awda perlu bermain sebaik mungkin dan memenangi perlawanan seterusnya,” katanya.

    “Kami kecewa dengan keputusan itu. Kami mempunyai kawalan penuh dalam permainan namun melepaskan gol yang sangat buruk. Ia tidak cukup bagus dan apabila awda tidak melakukan apa yang sepatutnya semasa menentang pasukan ini, awda melepaskan satu gol.

    “Dengan sikap ini, jika awda lihat pada akhirnya kami perlu bermain dengan 10 pemain dan kami mempunyai dua peluang besar untuk menjaringkan gol, awda tidak boleh mengatakan ia disebabkan tenaga.

    “Kami bermain setiap tiga hari dan sudah biasa dengannya, jadi tidak ada alasan untuk kekurangan tenaga.”

    Arsenal hanya memenangi dua daripada tujuh perlawanan liga terakhir mereka, memberi peluang lebih besar kepada Liverpool menjadi juara liga.

    The Reds mendahului 10 mata daripada Arsenal di tangga kedua, yang hanya berbaki enam perlawanan berbanding tujuh perlawanan Liverpool.

    “Peluang sudah pasti terlepas sekiranya kami mahu menang dan meningkatkan peluang kami dalam liga. Tetapi kami tidak berjaya melakukannya,” kata Arteta.

    “Kami perlu kritis dengan diri sendiri, terutamanya dengan cara kami melepaskan gol.

    “Kini tiba masanya untuk pulih dengan baik dan esok kami perlu mula bersedia untuk perlawanan terindah musim ini (menentang Madrid).”

    Jorginho mungkin tidak diturunkan di Santiago Bernabeu selepas pemain tengah Itali itu tercedera pada minit-minit akhir menentang Brentford.

    “Saya tidak tahu. Dia berkata dia tidak boleh bernafas dengan betul jadi mungkin ada kaitan dengan salah satu rusuknya,” kata Arteta.

    “Ia adalah pelik kerana Jorgi biasanya tetap teruskan (bermain), jadi saya fikit ia pasti sesuatu yang sangat penting.” – AFP

    Declan Rice (kanan) berebut bola dengan Christian Norgaard semasa perlawanan bola sepak di Stadium Emirates, London kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda