Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Dayang Arshia binti Tariq muncul johan bagi Kategori Bahasa Melayu manakala Joshua Estrella Gatapia johan bagi Kategori Bahasa Inggeris dalam Pertandingan Pidato Multimedia anjuran Jawatankuasa Eksekutif Perhubungan Awam, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli), pada 19 Jun lalu.
Pertandingan tahunan yang dikendalikan dalam dua kategori iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris supaya membolehkan para peserta menyampaikan pendapat serta pandangan mereka dengan selesa di mana pertandingan menyaksikan enam orang finalis bertanding dalam peringkat akhir.
Hadir untuk menyaksikan dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan yang berlangsung di Pusat Perkhidmatan dan Pembelajaran Pelajar, Maktab Duli itu ialah Pengetua Maktab Duli, Dayangku Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad.
Turut hadir semasa pertandingan berkenaan ialah kumpulan pentadbiran, tutor, pelajar-pelajar maktab serta para peserta yang menyertai pertandingan berkenaan.
Sebelum para finalis beraksi dalam kategori masing-masing, mereka telah diberikan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Dayang Miftaahu Qisthina Ad-Daamia @ Syadiah As-Syakirah binti Yusof.
Majlis diteruskan dengan para finalis Kategori Bahasa Melayu menyampaikan pidato mereka dan diikuti oleh para finalis Kategori Bahasa Inggeris, sebelum penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Pertandingan itu bermatlamat untuk memberikan peluang kepada para pelajar menerokai dan mengetengahkan bakat masing-masing dengan menggunakan multimedia bagi melengkapkan penyampaian pidato masing-masing.
Ia juga memberikan peluang untuk mengetengahkan idea atau maklumat utama untuk menjawab soalan, Bagaimanakah Kemajuan Teknologi dapat Mempengaruhi Interaksi Sosial?




