LONDON, 19 MEI – Mikel Arteta berjanji untuk tamatkan kemarau trofi lima tahun Arsenal pada musim depan selepas kemenangan 1-0 menentang Newcastle sekali gus mengesahkan tempat dalam Liga Juara-Juara.
Jaringan hebat Declan Rice pada separuh masa kedua dari tepi kawasan menamatkan rentetan lima perlawanan tanpa kemenangan Arsenal dan memastikan mereka akan tamatkan saingan dalam kelompok lima teratas Liga Perdana.
Sementara Arsenal berkemungkinan menamatkan saingan sebagai naib juara untuk kempen buat kali ketiga berturut-turut, hanya sedikit kejayaan lain yang boleh dikaitkan Arsenal pada musim ini.
Satu-satunya trofi Arteta bersama Arsenal adalah Piala FA 2020 dan kelabnya tidak memenangi kejuaraan selama 21 tahun.
Tetapi ketika berucap kepada penonton Emirates selepas wisel penamat menentang Newcastle, Arteta berkata: “Kami mempunyai impian, dan ia adalah untuk berada di sini sekarang, atau dalam masa seminggu dan membawa trofi besar kepada awda tetapi kami tidak dapat melakukannya sebab banyak keadaan.
“Kami perlu pastikan impian yang dikejar tidak kabur dan pastikan kami mengejar impian itu dengan penuh semangat dan positif musim depan.
“Kami telah mula mencipta sejarah sendiri di stadium ini dan banyak lagi yang akan datang tetapi ia tidak akan mudah.
“Kami perlu melakukannya bersama-sama. Biar saya beritahu awda, kumpulan pemain ini mempunyai kemahuan, kualiti dan bakat dan kami akan merealisasikannya.”
Kapten Arsenal, Martin Odegaard menambah: “Kami boleh berbangga dengan apa yang telah kami lakukan musim ini, terutamanya dalam Liga Juara-Juara. Tetapi kami belum cukup bagus dalam liga.
“Kami perlu mengambil semua pengalaman yang baik dan buruk dan kembali semula dengan lebih baik. Dan kami akan tanggung kesakitan kerana tidak menang tetapi akan kembali lebih kuat dan membawa trofi kepada kelab ini.” – AFP
