IPSWICH, 22 APRIL – Mikel Arteta berharap Bukayo Saka akan cergas untuk perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara Arsenal menentang Paris Saint-Germain selepas mengalami kecederaan buku lali ketika menang 4-0 menentang Ipswich Ahad lalu.
Saka digantikan 10 minit selepas separuh masa kedua di Ipswich dan menggunakan pek ais pada buku lali kanannya ketika dia terasa kesan selepas dikasari Leif Davis pada babak pertama.
Davis dilayangkan kad merah tanpa melihat VAR oleh pengadil Chris Kavanagh setelah melihat asakan yang, “membahayakan keselamatan Saka” tersebut.
Saka, yang memainkan peranan utama dalam persembahan Arsenal separuh masa pertama yang membosankan, bermain untuk seketika selepas kekasaran itu tetapi terhincut-hincut ke arah terowong pada hujung permainan.
Bagaimanapun, Arteta yakin pemain antarabangsa England itu, yang baru pulang dari kecederaan hampir empat bulan akibat pembedahan hamstring yang lalu, akan cergas untuk menentang PSG pada aksi pertama di Stadium Emirates pada 29 April nanti.
“Saya tidak fikir (asakan) disengajakan tetapi ia berbahaya,” kata Arteta mengenai kekasaran Davis.
“Saya bimbang dengan jumlah yang kita ada sekarang, terutamanya apabila pemain membelakangi gawang, kerana itulah saat apabila kaki diletakkan, berat badan dan awda tidak boleh bertindak balas.
“Dia mengasak dari belakang. Pengadil membuat keputusan, dan itu jelas. Bukayo agak sakit, tetapi ia tidak serius, jadi ia bagus.” – AFP
