LONDON, 5 JAN – Arsenal mensia-siakan peluang untuk merapatkan jurang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, kelmarin dengan keputusan seri di Brighton.
Manakala Newcastle telah menambah lagi derita pasukan bimbingan Tottenham, Ange Postecoglou, dan Chelsea terus dihambat masalah sejak kebelakangan ini apabila hanya mampu seri 1-1 di Crystal Palace.
Arsenal di bawah bimbingan Mikel Arteta, naib juara Liga Perdana sejak dua musim lalu, telah berkunjung ke pantai selatan untuk memburu kemenangan liga keempat berturut-turut.
Ethan Nwaneri, berusia 17 tahun, menggantikan tempat Bukayo Saka yang cedera, telah menjaringkan gol pada separuh masa pertama untuk meraih tiga mata penting bagi pasukan.
Bagaimanapun, kesalahan yang dilakukan oleh William Saliba telah memberikan peluang kepada kapten Seagulls, Joao Pedro, untuk merembat masuk gol hasil sepakan penalti pada minit ke-61.
Keputusan 1-1 bermakna Gunners berada di tempat kedua, ketinggalan lima mata di belakang Liverpool, yang akan bermain dua perlawanan lagi, di mana pasukan Arne Slot yang berada dalam prestasi terbaik akan menjadi tuan rumah kepada Manchester United, hari ini.
Arteta berkata anak buahnya kurang menyerlah pada separuh masa kedua, gagal membina momentum, sambil menambah hadiah sepakan penalti sebagai ‘tidak masuk akal.’
“Kami sangat kecewa dengan keputusan yang membawa kepada jaringan kerana saya tidak pernah melihat perkara seperti ini dalam hidup saya,” kata bekas pemain Sepanyol itu kepada BBC. – AFP