LONDON, 11 MEI – Mikel Arteta menggesa Arsenal menggunakan kekecewaan terpaksa beri kawalan kehormat semasa Liverpool melangkah masuk ke padang sebagai pembakar semangat selepas mengalami musim hambar kali ini.
Pasukan Arteta ditakdirkan untuk menamatkan musim ini tanpa sebarang trofi selepas gagal menyaingi Liverpool dan juga tersingkir dari separuh akhir Liga Juara-Juara baru-baru ini.
Masih menjilat luka akibat kekecewaan di Paris, Arsenal menuju ke Anfield hari ini untuk tugas yang menyelesakan satu tugas pahit bertemu juara, Liverpool yang telah pun tamatkan kejuaraan liga dua minggu lalu, meninggalkan Arsenal di tangga kedua.
“Sesuatu harus mendorong, memotivasikan awda dan kesakitan ini adalah perkara yang baik untuk digunakan, apabila awda benar-benar mahu melakukan sesuatu. Ia adalah sebagai motivasi untuk musim depan,” kata Arteta mengenai kawalan kehormatan daripada Arsenal untuk juara.
“Mereka telah menjadi pasukan terbaik, mereka adalah yang paling konsisten dan apa yang telah dilakukan oleh Arne dan pasukan kejurulatihan sangat menarik dan bagus.
Arteta mendengar pandangan sesetengah pihak yang mendakwa Arsenal adalah pasukan terbaik dalam Liga Juara-Juara musim ini walaupun mereka tersingkir di empat pasukan terakhir.
Beliau menyokong dakwaannya tersebut dan berkata: “100 peratus. Saya melihat impaknya, saya memerhati semua statistik kerana ia adalah statistik terbaik dan perbezaan gol terbaik pada separuh akhir, jadi ia sangat jelas.”
Kegagalan Arsenal untuk mendapat penyerang pada Januari lalu adalah satu tamparan hebat dalam musim yang dicemari kecederaan termasuk ketiadaan Kai Havertz, Gabriel Jesus dan Bukayo Saka di pelbagai peringkat.
“Saya mahu pasukan dan pemain terbaik. Jika kami mempunyai tiga penjaring gol lebih 25 tahun, bawa mereka masuk, kami akan menjadi pasukan yang jauh lebih baik,” kata Arteta.
Arteta juga mengakui Arsenal tidak dapat memenuhi jangkaannya musim ini tetapi dia bertegas pasukannya mempunyai kualiti untuk menamatkan kemarau trofi lima tahun kelab itu.
“Dalam Liga Perdana, kami telah menuju ke belakang. Dengan mata yang kami dapati, jelas bahawa kami tidak melakukan yang terbaik seperti musim lalu, itu jelas,” katanya.
“Tetapi dengan jumlah mata yang kami hasilkan dalam beberapa musim lepas, kami sudah boleh memenangi dua Liga Perdana. Jadi kami tahu betapa kami sangat hampir. Kami perlukan lebih tuah, tetapi masih dapat melakukan yang lebih baik untuk pastikan tiada pasukan lain yang mengalami musim yang lebih baik daripada awda.” – AFP
