Thursday, February 6, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arteta puji nilai empati pasukan

    BOURNEMOUTH, UNITED KINGDOM, 1 OKT – Pengurus pasukan Arsenal, Mikel Arteta memuji ‘nilai empati’ pasukannya selepas Kai Havertz diberi peluang untuk membuka jaringan gol bagi pasukan itu menerusi sepakan penalti dalam kemenangan 4-0 ke atas Bournemouth semalam.

    Kemenangan itu membawa The Gunners berada satu mata di belakang Manchester City di puncak carta, dengan pasukan itu akan bertemu di Stadium Emirates minggu depan.

    Havertz telah menerima banyak kritikan selepas mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri selepas berpindah dari Chelsea dengan bayaran AS$79 juta semasa jendela perpindahan.

    Bukayo Saka dan Martin Odegaard berkongsi tugas dalam melakukan sepakan penalti sepanjang musim ini, namun selepas kedua-dua berjaya menjaringkan gol pada separuh pertama, Havertz diberi tanggungjawab untuk melakukan sepakan penalti apabila pasukan Arteta mendapat penalti kedua pada awal separuh kedua perlawanan.

    Pemain antarabangsa Jerman itu disambut dengan penuh kegembiraan oleh rakan sepasukannya selepas melakukan rembatan ke sudut bawah gol dengan tenang.

    “Saya sangat gembira dengan kemenangan ini, tetapi saya lebih gembira kerana menjadi sebahagian daripada pasukan yang menunjukkan kualiti cemerlang seperti yang dilakukan mereka hari ini,” kata Arteta.

    “Tanpa saya memberitahu mereka apa-apa, menunjukkan empati kepada seorang pemain yang mempunyai beberapa persoalan untuk diselesaikan secara luaran, mereka membuat saya lebih terharu hari ini. Mereka melakukannya dengan cara semula jadi.

    “Menunjukkan tahap empati dan pemahaman sedemikian, bimbang dan mengambil berat terhadap seseorang itu memang hebat,” tambahnya.

    Arteta berharap Havertz kini boleh menjadi pemain utama dalam usaha Arsenal untuk merebut gelaran Liga Perdana pertama dalam tempoh 20 tahun. – AFP

    Kai Havertz menjaringkan gol ketiga pasukannya semasa perlawanan Arsenal menentang Bournemouth di Stadium Vitality, Bournemouth, England, Sabtu lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda