LONDON, 12 SEPT – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, telah bersetuju dengan kontrak baharu selama tiga tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depannya, lapor beberapa media, hari ini.
Pengurus berusia 42 tahun dari Sepanyol itu, dengan kontrak sebelum ini berbaki 12 bulan di Emirates, kini dijangka kekal sehingga 2027.
Arteta, yang sebelum ini menjadi jurulatih di bawah Pep Guardiola di Manchester City, menggantikan Unai Emery sebagai pengurus Arsenal pada Disember 2019. Dia memenangi Piala FA pada musim pertamanya, trofi pertama sebagai pengurus.
Arsenal telah dua kali menjadi naib juara Liga Perdana, di belakang Manchester City, tetapi masih belum berjaya memenangi gelaran liga sejak kali terakhir pada 2004. Kini, pasukan Arteta berada di kedudukan keempat liga dengan dua kemenangan dan satu seri dan bakal memulakan kempen Liga Juara-Juara minggu hadapan menentang Atalanta.
Menurut laporan BBC, kontrak baharu Arteta dijangka diumumkan sebelum pertemuan derby utara London menentang Tottenham pada Ahad ini.
Arteta, yang pernah bermain sebanyak 150 kali untuk Arsenal dan menjadi kapten pasukan, sebelum ini meminta agar tidak panik mengenai situasi kontraknya dan menegaskan fokusnya adalah kepada jendela perpindahan.
“Kami sedang usahakannya dan akan menguruskan pada masa yang sesuai,” kata Arteta, yang sebelum ini dikaitkan dengan Paris Saint-Germain dan Barcelona.
“Saya berada di tempat yang saya inginkan dan amat gembira. Saya berharap kelab berkongsi pandangan yang sama, begitu juga pemain-pemain yang saya latih, yang pada pendapat saya adalah paling penting.”
Arsenal telah mengukuhkan kedudukan mereka pada jendela perpindahan musim panas dengan membawa masuk beberapa pemain termasuk Raheem Sterling, Mikel Merino dan Riccardo Calafiori, namun masih timbul keraguan sama ada mereka mempunyai kekuatan serangan yang mencukupi untuk bersaing. – AFP