YERUSALEM, 12 SEPT – Hampir tiga dekad penemuan arkeologi di Gaza telah dipindahkan secara mengejut kelmarin dari sebuah bangunan di Bandar Gaza yang terancam diserang oleh Israel, kata seorang pegawai yang bertanggungjawab terhadap artifak itu kepada AFP.
“Ini merupakan sebuah operasi berisiko tinggi, dijalankan dalam keadaan yang amat bahaya bagi semua yang terlibat,” kata pengarah Sekolah Alkitab dan Arkeologi Perancis di Yerusalem (EBAF), Olivier Poquillon, yang storannya menempatkan artifak tersebut.
Pada pagi Rabu, pihak berkuasa Israel mengarahkan EBAF iaitu salah satu institusi akademik tertua di rantau itu untuk memindahkan stor arkeologi mereka yang terletak di tingkat bawah sebuah menara kediaman di Bandar Gaza yang dijadual menjadi sasaran.
Namun, tentera Israel tidak mengesahkan amaran tersebut apabila ditanya oleh AFP, tetapi beberapa sumber menyatakan Perancis, UNESCO dan Patriarkat Latin Yerusalem memainkan peranan penting dalam mendapatkan penangguhan singkat yang membolehkan sebahagian besar artifak dipindahkan.
Pemindahan itu, tambahnya, dilakukan dengan ‘rahsia ketat’, dengan ‘keprihatinan utama, sebagai organisasi agama, untuk tidak membahayakan nyawa manusia”, sementara tentera Israel meneruskan operasi di hab bandar terbesar wilayah itu.
Stor itu menempatkan kira-kira 180 meter padu penemuan dari lima tapak arkeologi utama Gaza, termasuk Biara Saint Hilarion abad ke-4, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Kesemua tapak ini telah rosak, kata EBAF, sambil menyuarakan kebimbangan terhadap ‘mozaik unik’ yang dibiarkan terdedah walaupun rapuh. – AFP


