KAHERAH, 6 OKT – Sebuah lukisan firaun yang diukir pada batu kapur, baru-baru ini, dilaporkan hilang dari nekropolis terkenal Saqqara di Mesir, menjadikannya artifak terbaharu yang lenyap di negara yang terkenal dengan sejarahnya yang panjang dan kaya.
Lukisan itu terletak di dalam makam Khentika di kawasan nekropolis Saqqara berhampiran Kaherah, menurut Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti Mesir, Mohamed Ismail, pada Ahad. Makam jenis mastaba itu ditemui pada tahun 1950an dan tidak dibuka sejak tahun 2019.
Dalam kenyataannya, Ismail berkata pihak pendakwa kini sedang menyiasat keadaan kehilangan lukisan tersebut, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Media Mesir melaporkan bahawa lukisan itu menggambarkan kalendar Mesir Purba yang membahagikan tahun kepada tiga musim berdasarkan pasang surut Sungai Nil, musim banjir Akhet, musim penanaman Proyat, dan musim menuai Shomu.
Makam tersebut berasal dari Dinasti Keenam Zaman Kerajaan Lama Mesir Purba, sekitar tahun 2700 SM hingga 2200 SM.
Portal berita Cairo 24 melaporkan bahawa satu misi arkeologi dari Britain yang sedang bekerja di makam itu menyedari kehilangan lukisan tersebut pada bulan Mei.
Makam itu juga merupakan antara beberapa makam mastaba Mesir Purba yang mempunyai ukiran sumpahan di bahagian hadapannya. Menurut ahli Mesir Purba British, Harry James, yang menulis kertas kajian mengenai makam itu pada tahun 1950an, ukiran tersebut memberi amaran bahawa penceroboh akan menerima hukuman ilahi jika melanggar kawasan itu.
Tapak Saqqara merupakan sebahagian daripada kompleks nekropolis besar di ibu kota purba Mesir, Memphis, yang turut merangkumi Piramid Giza yang terkenal, piramid berperingkat Djoser, serta piramid-piramid lebih kecil di Abu Sir, Dahshur dan Abu Ruwaysh. Runtuhan Memphis telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1970an.
Pengumuman pada Ahad itu dibuat kurang sebulan selepas seutas gelang emas milik seorang firaun purba dilaporkan dicuri dari Muzium Mesir di Kaherah dan dileburkan untuk mendapatkan emasnya.
Gelang emas dengan manik lapis lazuli itu milik Firaun Amenemope, yang memerintah sekitar 3,000 tahun lalu. Ia dicuri pada 9 September ketika pegawai muzium sedang menyediakan artifak untuk pameran di Itali. Pihak berkuasa berkata gelang itu diambil dari makmal pemulihan muzium dan disalurkan melalui beberapa orang perantara sebelum akhirnya dileburkan. – AP


