DENMARK, 17 JUN – Dalam satu penemuan secara tidak sengaja, sebuah tapak perkuburan dari abad ke-10 yang dipercayai milik keluarga bangsawan Viking telah ditemui di utara Denmark, lengkap dengan pelbagai artifak kuno yang digambarkan sebagai menakjubkan, umum sebuah muzium, hari ini.
Penemuan itu berlaku apabila manik-manik, syiling, tembikar dan sebuah kotak berisi benang emas ditemui semasa kerja-kerja pembinaan berhampiran Lisbjerg, sebuah kampung yang terletak tujuh kilometer di utara Aarhus, bandar kedua terbesar di Denmark.
Ahli arkeologi mendapati tapak tersebut mengandungi kira-kira 30 kubur yang bertarikh sekitar abad ke-10, iaitu semasa pemerintahan Raja Harald Bluetooth, kata Muzium Moesgaard di Aarhus.
Menurut ahli arkeologi muzium tersebut, Mads Ravn, kubur-kubur itu berkemungkinan besar berkait dengan keluarga bangsawan dari Zaman Viking, yang bertahan antara abad ke-8 hingga ke-11 dan tapak ladang mereka pernah ditemui kurang satu kilometer dari kawasan perkuburan itu pada akhir tahun 1980an.
“Ini mungkin milik salah seorang earl atau pengurus wilayah Raja Harald Bluetooth,” kata Ravn kepada AFP.
Ravn menjelaskan bahawa raja yang memperkenalkan agama Kristian ke kawasan yang kini dikenali sebagai Denmark itu pernah memberikan tugasan kepada golongan bangsawan untuk mengurus kawasan tertentu.
Penyelidik turut menemui beberapa rangka manusia, seperti gigi dan tulang, di tapak tersebut.
“Orang pada zaman itu biasanya membawa barang yang penting bagi mereka ke dalam kubur kerana mereka mahu membawanya ke alam lain,” jelas Ravn.
Salah satu kubur yang dipercayai milik seorang wanita penting mengandungi sebuah kotak berisi barang hiasan dan sepasang gunting.– AFP
