BERLIN, 12 OKT – Para penyelidik dalam misi terbesar dunia ke Kutub Utara kembali ke Jerman hari ini, membawa pulang bukti Lautan Artik yang sudah semakin tenat dan amaran mengenai musim panas tanpa ais dalam masa beberapa dekad.
Kapal Institut Alfred Wegener Jerman Polarstern kembali ke pelabuhan Bremerhaven selepas 389 hari dihabiskan terapung di Artik yang dilitupi ais, membenarkan saintis mengumpul maklumat penting mengenai kesan pemanasan global di rantau itu.
Sebelum pulang, ketua misi Markus Rex memberitahu AFP bahawa kumpulan ratusan saintis dari 20 negara telah melihat sendiri kesan dramatik pemanasan global ke atas ais di rantau yang dianggap ‘pusat perubahan iklim.’
“Kami menyaksikan bagaimana lautan Artik sudah menjadi tenat,” kata Rex. “Kami melihat proses ini di luar jendela kapal kami, atau apabila kami berjalan di atas ais yang rapuh.”
“Di Kutub Utara sendiri, kami menemui ais yang terhakis teruk, cair, nipis dan rapuh.”
Jika trend pemanasan di Kutub Utara berterusan, maka dalam beberapa dekad kami akan menyaksikan ‘musim panas tanpa ais di Artik,” kata Rex.
Pemerhatian penyelidik telah disokong oleh gambar satelit AS yang menunjukkan pada 2020, ais lautan di Artik telah mencecah musim panas kedua terendah yang dicatat, selepas 2012.
Misi Polarstern, digelar MOSAIC, menghabiskan setahun mengumpul data mengenai atmosfera, lautan, ais lautan dan ekosistem untuk membantu menilai impak perubahan iklim ke atas rantau dan dunia. – AFP