Friday, December 27, 2024
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Artikel Bahasa Melayu Ayman Rashdan kongsi isu semasa

    SHAH ALAM – Memilih Bahasa Melayu (BM) sebagai medium penulisan dalam media sosial untuk berkongsi pengetahuan mengenai sejarah dan isu semasa dunia nyata berjaya menarik perhatian umum sehingga hasil tulisan pemuda berketurunan Cina ini dikongsi ribuan pembaca platform tersebut.

    Penulis buku bebas, Ayman Rashdan Wong, 33, berkata BM dipilihnya sebagai medium penulisan kerana kebanyakan rakan dan pengikut Facebooknya adalah rakyat Malaysia dan berpendapat adalah munasabah untuk majoriti rakyat negara ini berkomunikasi dalam Bahasa Kebangsaan itu.

    “Penggunaan Bahasa Melayu juga adalah disengajakan bagi menangkis persepsi bahawa Bahasa Melayu bukan bahasa yang boleh membincangkan isu serius seperti politik antarabangsa,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata sekiranya golongan bijak pandai hanya menggunakan Bahasa Inggeris dalam perbincangan lama-kelamaan orang akan menganggap BM sebagai bahasa remeh dan tidak semegah Bahasa Inggeris.

    “Pengalaman peribadi juga memainkan peranan. Sebagai graduan Universiti Kebangsaan Malaysia dan pegawai kerajaan, saya sememangnya lebih selesa dan yakin menggunakan Bahasa Melayu berbanding Bahasa Inggeris,” katanya.

    Ayman Rashdan Wong merupakan penulis bebas yang menggunakan Bahasa Melayu dalam berkongsi pengetahuan mengenai sejarah dan isu semasa. – FB Ayman Rashdan

    Katanya, menulis adalah satu cara untuk beliau mengingat dan menghafal perkara-perkara yang dibaca selain hasil tulisannya itu dikongsi dalam media sosial atau buku bagi tujuan mempopularkan kajian politik antarabangsa dalam kalangan rakyat Malaysia.

    Ayman Rashdan berkata beliau mula berkongsi penulisannya menerusi media sosial pada 2016, iaitu tahun menarik bagi kajian politik antarabangsa apabila berlakunya Brexit (penarikan diri Britain daripada Kesatuan Eropah) dan kemenangan Donald Trump dalam pemilihan presiden Amerika Syarikat.

    “Di negara-negara luar termasuk Indonesia, perbincangan mengenai kesan peristiwa-peristiwa ini cukup rancak dan dibincangkan dalam kerangka seperti ‘kebangkitan populisme’ dan ‘keruntuhan orde antarabangsa liberal’.

    “Namun perbincangan sedemikian tidak begitu rancak di Malaysia kerana pemahaman mengenai kerangka-kerangka ini masih kurang dalam kalangan orang ramai.

    “Jadi, perkongsian saya bertujuan untuk mempopularkan kerangka-kerangka tersebut,” katanya.

    Menurut Ayman Rashdan, kesemua artikel yang dikongsi menerima reaksi pelbagai namun dari sisi positifnya kini lebih ramai orang berminat dengan perbincangan politik antarabangsa dan geopolitik yang diketengahkan.

    “Malah ada ramai anak muda telah memberitahu saya bahawa penulisan saya menjadi inspirasi kepada mereka untuk menyambung pelajaran dalam bidang hubungan antarabangsa,” katanya.

    Ayman Rashdan berkata perkongsian ilmu mengenai hal ehwal antarabangsa yang dipaparkannya itu bertujuan agar pembaca lebih memahami konsep kepentingan negara (national interest) yang tidak akan berubah, tidak kira sesiapa pun memegang tampuk pemerintahan negara.

    “Kalau kita mempunyai pemahaman mengenai aspek ini, kita akan lebih defensif terhadap negara kita dan tidak mencaci negara sendiri hanya disebabkan oleh ketidakpuashatian peribadi terhadap pemerintah semasa,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda