PARIS – Ketika Kubra Khademi berhenti di sebatang jalan raya di Kabul dan sekumpulan lelaki mula melemparkan batu ke arahnya dan dia mengalami kecederaan, dari sana dia mengetahui bahawa dia harus meninggalkan negara itu.
Seniman pentas yang masih muda itu terpaksa berjalan keseorangan ke salah satu persimpangan tersibuk di ibu negara Afghanistan dengan memakai ‘perisai’ timah di dadanya untuk menekankan penganiayaan yang sering dihadapi oleh kaum wanita di sana.
Walaupun dia sempat melarikan diri dengan menggunakan teksi, namun salah seorang daripada kumpulan perusuh menyentuhnya dari belakang.
“Saya terpaksa bersembunyi di Kabul sehingga saya dapat melarikan diri dan menjauhi mereka,” katanya kepada AFP semasa penerbangannya ke Perancis.
Dua kali dijatuhi hukuman mati kerana mengkritik kerajaan Khartoum, seorang penyair daripada Sudan, Moneim Rahma, tidak berfikir dua kali apabila mendapat peluang untuk terbang ke negara yang dapat mempamerkan bakat dirinya.


Sementara pengarah warga Syria, Samer Salameh, mengetahui bahawa dia berada dalam risiko dengan membuat filem mengenai kawasan kejiranannya Damsyik, Yarmouk, yang pernah digambarkan sebagai ‘tempat paling teruk di bumi’ oleh agensi bantuan, ketika dia berkhidmat sebagai anggota tentera.
Ketiga-tiga mereka akhirnya tiba di ibu negara Perancis, di mana dalam setengah abad ia telah menjadi destinasi utama bagi para penulis dan pelukis untuk melarikan diri daripada penindasan. Ia juga adalah syurga bagi para emigrasi.
Berada bersebelahan dengan daerah kelas-pekerja di utara Paris, pusat ‘drop-in’ telah membantu kira-kira 200 orang artis yang telah menjejaki kaki mereka ke Perancis sejak bulan Oktober tahun lalu.
The Studio of Artists di Exile adalah dianggap penawar bagi masalah yang dihadapi oleh artis-artis ini yang mendapati diri mereka seperti ‘seekor ikan yang keluar dari perairan’ dan berada di sebuah negara baru.
Bagaimanapun, walaupun beroperasi di premis yang didermakan dan berada dalam bajet yang begitu ketat, namun ia mampu membantu para pelukis ini untuk menavigasi karier mereka, kata pengasas bersama Judith Depaule.
“Dengan cara ini, Perancis telah menjadi tempat tarikan buat artis-artis seni dan merasa mudah untuk melakukan pekerjaan mereka. Tidak seperti Jerman, di mana anda perlu mempunyai sama ada latar belakang atau disubsidi oleh organisasi kesenian,” katanya.
“Sistem itu sendiri telah memudahkannya di sini,” tambahnya.
“Paris dari segi sejarahnya sering menjadi tempat artis-artis buangan. Pada tahun 1920-an, kami menerima warga Rusia dan kemudian artis-artis yang melarikan diri daripada perang saudara di Sepanyol untuk menyertai Picasso,” kata Depaule.
Hampir setengah abad sejak Paris, yang sering dijuluki sebagai sebuah ‘kota muzium’, adalah destinasi utama bagi artis-artis dan “kitaran itu mungkin berubah”, jelas Depaule.


Baru-baru ini, Menteri Kebudayaan Perancis, Francoise Nyssen telah menyokong studio itu, menjemput artis-artisnya ke pejabat beliau walaupun kerajaannya telah mengetatkan undang-undang terhadap suaka di Perancis.
Dia memuji beberapa kaedah seni ‘yang luar biasa’ yang dipegang oleh pendatang-pendatang baru dan menyeru agar yang lain untuk mengikuti jejak mereka untuk ‘mengembangkan lagi cara kita melihat dunia dan mempamerkan budaya kita’.
Nyssen juga menjemput 15 artis buangan, termasuklah Khademi dan Rahma untuk menunjukkan hasil karya mereka di kementeriannya.
Khademi, 28, telah melalui kehidupan yang baru secara sepenuhnya sejak tiba di ibu negara Perancis dua tahun yang lalu, mengikuti pengajian di universiti dan telah diberi penghormatan oleh kerajaan sebagai ‘knight of arts and letters’.
“Saya terlalu banyak mengembara di Paris dan itulah apa yang terlintas dalam karya seni saya,” katanya.
Apabila hasil karyanya semakin mendapat perhatian dan mendapat komisen untuk persembahan di Muzium Imigrasi Perancis, jalan kariernya semakin membaik.
Bagi Rahma, 57, yang keluarganya masih berada di Etiopia, situasinya adalah semakin rumit. Dia cuba berusaha untuk mendapatkan isteri dan empat orang anaknya itu, namun ia bukannya suatu jalan yang mudah.
Dia telah menerbitkan sebuah buku bersama dengan 10 orang pelukis Perancis yang bersangkutan dengan pelarian. Kini dia mula menulis untuk novel ketiganya.
Namun fokusnya masih kekal terhadap tanah airnya.
Setelah tiba di Perancis, warga Syria-Palestin, Salameh, 32 tahun, telah berjaya menyiapkan filemnya bertajuk ‘194 Us, Children of the Camp’, yang menyentuh mengenai keadaan Yarmouk semasa peperangan. Ia telah ditayangkan semasa festival di Eropah.
“Namun ia agak pelik walaupun peperangan tercetus di tanah air anda, namun anda masih merasa senang, tenang, kerana ia adalah negara anda, bahasa anda,” kata Salameh kepada AFP. – AFP