SEOUL – Bau kicap dan kacang soya yang diragikan memenuhi Galeri Shilla di Seoul, di mana The Liquid Filling Machine, karya seni visual tiga dimensi hasil artis Yoo Hae-na dipamerkan.
Bauan yang tajam akan membuatkan pengunjung merasa kehairanan kerana tidak biasa dengan karya Yoo, sehingga menimbulkan pertanyaan adakah mereka berada di dalam galeri atau kilang makanan?
Di dalam galeri itu terdapat bahan industri yang murah dan mudah didapati serta logo syarikat multinasional dengan sos berwarna gelap dan juga kelupak. Di dindingnya terdapat meju, blok kacang soya kering yang diragikan untuk digunakan membuat pes kacang soya dan kicap.
“Semasa saya kecil, kilang kicap kelihatan seperti taman hiburan dengan semua mesin menghasilkan kicap dan pembungkusan,” kata Yoo yang berusia 33 tahun dalam temu bual dengan The Korea Herald pada 12 Disember di Galeri Shilla, di mana pameran solonya The Oriental Sauce Factory dipamerkan.
Dilahirkan di Seoul, Yoo membesar dengan melihat bapanya menjalankan kilang kicap di Eumseong, sebuah daerah kecil di wilayah Chungcheong Utara.

“Bau kicap yang unik, agak manis yang menyengat hidung saya di kilang, tetapi tidak lama kemudian saya terbiasa dengan bau itu, ia merupakan pengalaman yang menarik.”
Dari 2013 hingga 2019, Yoo tinggal di Amerika Syarikat dan pulang ke Korea sebelum penularan pandemik. Liputan media menunjukkan bagaimana wabak dan sekatan menguatkan sentimen anti-Asia di negara-negara barat, sesuatu yang menarik perhatian Yoo sebagai seorang artis. Pandemik berlarutan bertahun-tahun dan pengalamannya di negara asing memberi inspirasi kepadanya.
Dia berani mengisi galeri dengan bau kicap dan meju, tidak berminat untuk mencipta karya seni ‘cantik’ yang sangat popular di pameran seni atau di rumah lelongan. Yoo bercakap tentang apa yang dia percayai dan komitmennya sebagai seorang artis dengan tenang, kelihatan berazam.
Dia menimbulkan soalan tentang istilah ‘Oriental’, yang masih digunakan secara meluas untuk produk runcit atau minyak wangi walaupun ia dianggap sebagai istilah yang mendiskriminasikan. Yoo terdedah kepada perkataan itu, termasuk dressing salad yang dirujuk sebagai ‘sos Oriental’.
“Jadi saya agak biasa dengan istilah itu dan sedar bahawa ia merujuk kepada orang Asia seperti saya, tetapi tidak pasti apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan ‘Oriental’, kecuali ia berakar pada konsep imperialisme. Saya mahu pengunjung merasai ketaktembusan dan kekaburan perkataan (dengan bau),” kata Yoo.
Gun Series oleh Yoo Hae-na
Dia mengadakan pameran di Galeri Murmurs di Los Angeles pada 2021 dengan tajuk yang sama. Karya seni Meju (Dictee), yang menunjukkan meju, telah dicipta mengikut kaedah sebenar membuat meju.
Dia mencampurkan kacang soya mengikut teks dari buku Dictee oleh artis avant-garde wanita Korea, Cha Hak-kyung (1951-1982), yang dicetak pada hanji, atau kertas mulberi tradisional.
Di Galeri Shilla, dia juga menunjukkan karya baharu. Gun Series ialah koleksi senapang yang dicipta dengan hanji, direndam dalam kicap dan kemudian dikeringkan.
Senapang hanji menunjukkan tajuk utama akhbar mengenai Perang Rusia-Ukraine yang berlangsung. Siri ini berkembang daripada siri senjatanya sebelum ini yang memaparkan tajuk berita tentang jenayah kebencian terhadap orang Asia semasa wabak itu.
“Bau tidak kelihatan, tetapi saya mahu menggunakannya untuk seni. Awda tidak dapat melihatnya, tetapi ia sangat berkuasa. Ia kekal dalam ingatan seseorang untuk masa yang lama, dan hampir tidak dapat dilupakan,” kata Yoo. – ANN/The Korea Herald