Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JAN – Dengan matlamat untuk mengongsi minat seni asli dan pemuliharaan amalan budaya, seorang artis asli dari Kanada, Jesse Fiddler kini berada di Negara Brunei Darussalam atas jemputan Suruhanjaya Tinggi Kanada di Negara Brunei Darussalam.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi Kanada di sini, Jesse Fiddler akan berada di Brunei sehingga hujung Januari ini dengan mengendalikan bengkel ukiran kaya bersama guru-guru dan pelajar-pelajar tempatan.
Bengkel amali berkenaan yang dianjurkan bersama dengan Kementerian Pendidikan, disertai oleh lebih 60 orang peserta.
Di samping itu, Suruhanjaya Tinggi Kanada juga bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk menghoskan sebuah forum bagi mengongsi dan bertukar-tukar ilmu pengetahuan tradisional perhutanan serta amalan ukiran kayu dengan pengukir-pengukir kayu Brunei.
Jesse Fiddler juga mempamerkan teknik ukiran kayu kepada kumpulan komuniti yang menyokong golongan yang berkelainan upaya serta mengetengahkan keunikan stail ukiran gergaji rantau untuk menghasilkan karya seni yang unik menggunakan kayu hanyut dari Pantai Berakas.
Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Ambra Dickie dipetik menyatakan keterujaannya dengan kehadiran Jesse Fiddler di Brunei dalam berkongsi minat mendalamnya terhadap seni asli dan pemuliharaan amalan budaya serta peluang untuk mempelajari mengenai kesenian dan kraf tangan Negara Brunei Darussalam.
Seni merupakan bahasa universal, jelasnya lagi, di mana ke arah itu, Suruhanjaya Tinggi Kanada amat berbesar-hati berpeluang untuk memupuk hubungan tradisi penting antara Brunei dan Kanada.
Semua di atas: Jesse Fiddler semasa mengendalikan bengkel di beberapa tempat. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN SURUHANJAYA TINGGI KANADA DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM