Tuesday, August 9, 2022
22.7 C
Brunei

Artis lancar koleksi lakuer sempena tahun harimau

-

Koleksi yang terdiri daripada 2,022 patung harimau hasil kraf tangan daripada kayu buah nangka dan laterit bergabung dengan lakuer bakal siap untuk mengalu-alukan tahun baharu 2022 atau tahun harimau dalam zodiak kalender China.

Idea untuk mengadakan koleksi berkenaan telah dikemukakan oleh artis lakuer, Nguyen Tan Phat sejak dua tahun lalu, berikutan kejayaan koleksinya yang terdiri daripada 1,010 patung kerbau yang dilancarkan sempena ulang tahun ke-1,010 Ha Noi pada 2021.

“Mempunyai minat mendalam serta keghairahan terhadap seni halus dan budaya tradisional Vietnam, saya berhasrat melancarkan satu koleksi dengan beberapa hasil seni sehingga tahun 2022. Ribuan kerja seni unik yang telah saya hasilkan dijangka menawarkan pengalaman artistik yang menarik,” beritahu Phat kepada Vietnam News.

“Sebagai artis kreatif sendiri, saya mahu mengiktiraf kreativiti rakyat Vietnam pada umumnya dan pencipta terutamanya dalam konteks pasaran kontemporari telah kekurangan kerja kreatif dan penuh dengan kerja seni industri. Nilai-nilai teras hasil seni tradisional kubu kota lama Thang Long dan kini Hanoi harus diiktiraf dan dipromosi,” tambah beliau.

Artis berusia 39 tahun itu telah menyiapkan koleksi 500 kerja seni dan merancang memberikan sentuhan akhir kepada kerja selebihnya dalam tempoh tiga bulan akan datang sebelum memperkenalkan mereka secara rasmi kepada orang awam sempena Hari Penyatuan Negara pada 30 April.

Koleksi itu dijangka siap dan diperkenalkan kepada orang awam pada Hari Penyatuan Negara pada 30 April. – ANN/Vietnam News
Sebuah kerusi harimau dalam set lima elemen merupakan kerja seni paling menakjubkan. – ANN/Vietnam News
Artis Nguyen Tan Phat mempunyai minat mendalam terhadap seni lakuer tradisional Vietnam. – ANN/Vietnam News
Patung harimau termasuk dalam koleksi Phat yang akan dilancarkan untuk mengalu-alukan tahun 2022 atau tahun harimau. – ANN/Vietnam News

“Mencipta koleksi yang besar ini merupakan satu cabaran besar yang memerlukan dedikasi dan usaha. Perkara paling sukar bagi saya adalah mengekalkan kekuatan harimau tetapi juga menjadikan ia seakan-akan hidup dan imejnya mungkin diintegrasikan dalam perabot rumah,” katanya.

Dalam koleksi ini, Phat juga berhasrat mengubah persepsi harimau sebagai haiwan ganas dengan mencipta patung dengan bentuk dan ekspresi yang menawan hati yang boleh digunakan sebagai pelbagai barangan rumah seperti kotak, vas bunga, meja atau kerusi.

Satu lagi ciri-ciri istimewa koleksi harimau adalah keunikan setiap hasil seni, dicipta dengan amat teliti daripada bahan-bahan asli bandar Som Tay – kayu buang nangka dan laterit – dalam kombinasi bersama seni lakuer tradisional Vietnam.

Cerita rakyat Vietnam, lagu serta seni bina tradisional juga telah diintegrasikan ke dalam koleksi unik tersebut ‘untuk mempertingkat kebanggaan negara,’ tambah beliau.

Kerja seni paling mengagumkan, yang juga mengambil paling banyak masa dan usaha, merupakan set lima buah kerusi dengan lima warna – kuning, merah, hijau, hitam dan putih.

Setiap warna melambangkan satu elemen semula jadi – kuning untuk bumi, merah untuk api, hijau untuk kayu, hitam untuk air dan putih untuk keluli. Kerusi harimau, setiap satunya mempunyai berat sehingga 60 kilogram, diukir dengan teliti daripada kepingan besar kayu dan bertatahkan kulit telur. Nilai semasa set kerusi ini berharga sehingga ratusan juta dong, menurut artis itu.

“Imej Lima Harimau bukan sahaja melambangkan lima elemen bumi tetapi juga menunjukkan kuasa lima dewa harimau, di mana Jeneral Harimau ditempatkan di tengah-tengah, kerana mempunyai banyak kuasa dan mengawal semua arah dan haluan. Ia adalah tuan tertinggi, memiliki segala kuasa dan menentukan yin dan yang untuk manusia,” jelas Phat.

Berbanding dengan koleksi sebelumnya yang terdiri daripada 1,010 patung kerbau kayu, patung dalam koleksi harimau mempunyai lebih banyak fungsi dan pelbagai saiz, daripada 10×10 sm sehingga 50x200sm.

Bahan yang digunakan juga lebih rumit, termasuk laterit, tembaga serta besi.

Koleksi yang unik tersebut bakal disiapkan dan dipamerkan di ruang kreativitinya – studio Phat – terletak di kampung lama Duong Lam.

Pelawat sama ada boleh menyaksikan artis itu melengkapkan setiap peringkat kerja seninya daripada mengukir kepada menyapu lakuer atau menyertai sama dalam proses berkenaan.

Pelukis dan artis Nguyen Tan Phat dilahir pada tahun 1983 di bandar Son Tay, Hanoi. Menamatkan persekolahan dari Universiti Seni Halus Hanoi, beliau telah memenangi banyak anugerah seperti hadiah pertama dalam pertan-dingan reka bentuk kraf tangan Ha Noi pada 2014 dan 2019; dan hadiah pertama dalam Pertandingan Rekaan Kraf tangan Vietnam 2020 dengan projek ‘1010 Patung Kerbau Lakuer’.

Pada 2017, Tan Phat adalah salah seorang artis paling muda yang diiktiraf sebagai ‘Artis Hanoi’ oleh Jawatankuasa Rakyat Ha Noi.

 Sebagai satu-satunya artis lakuer di bandar Son Tay, Phat juga telah menyumbang kepada penurunan seni pertukangan itu kepada generasi akan datang dan memberikan inspirasi kepada artis muda di tanah airnya serta mewujudkan pekerjaan untuk puluhan penduduk tempatan. – ANN/Vietnam News

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Ershun lahirkan panda kembar

CHONGQING, 8 OGOS – Seekor panda gergasi bernama Ershun telah melahirkan anak kembar 22 Julai lalu di sebuah zoo di barat daya China, Perbandaran...
- Advertisment -