BELGRADE – Selepas sahaja membina nama dalam merancang dan mencetak poster untuk kumpulan Nirvana dan band-band lain di kawasan Seattle, artis seni dari Amerika Syarikat (AS), Jeff Ross sejak itu telah mengembara ke seluruh dunia untuk mencari sumber inspirasi bagi projek seterusnya.
Kini, dia berjaya menemui inspirasinya itu di Serbia, di mana lelaki yang berusia 58 tahun itu baru-baru ini telah menubuhkan sebuah studio di luar Belgrade dan mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti seni jalanan di kawasan ibu kota Serbia.
“Saya merasakan ada sesuatu di sini, sesuatu yang unik dan saya mahu berada di sini serta bekerjasama dan mengajar orang ramai bagaimana untuk mencetak skrin, membuat seni lukisan, membuat muzik dan alunan irama,” katanya kepada AFP.
Baru-baru ini, Ross telah mengikuti seni lukisan semburan yang mereka bentuk dalam pelbagai warna di dinding Maniac, salah sebuah kawasan bawah tanah di Belgrade.
Mengekalkan konsep sama
Penggiat seni tersebut turut bekerja dalam menghasilkan kepingan seni peribadi untuk dijual di studio miliknya yang telah ditubuhkan di Pancevo, sebuah bandar kecil di seberang Danube dari Belgrade.
Dari sini, dia terus mengekalkan konsep cetakan hitam dan putih ikoniknya yang direka untuk poster dan barang-barang Nirvana pada tahun 1990an.
Dilahirkan di Jerman, namun dibesarkan di Amerika Syarikat, Ross berkata bahawa dia tertarik dengan corak lakaran seni Pancevo selepas empat tahun dia menghasilkan seni di kawasan bandar sibuk di Bangkok, Thailand.
“Saya akan mengumpul beberapa benda dan menggunakan kesemua yang saya peroleh untuk mencipta satu lakaran seni, justeru, Serbia adalah sangat sesuai dengan konsep itu,” tambahnya kepada media. – AFP
