BAGHDAD – Semenjak penaklukan Amerika Syarikat (AS) di Iraq pada tahun 2003, penduduk Iraq telah terjebak ke dalam arus keganasan dan ekstremisme di mana telah merosakkan aspek kehidupan bermasyarakat termasuk pergerakan artistik negara tersebut.
Walau bagaimanapun, ramai penduduk di negara itu cuba mengatasi kesulitan itu setiap hari melalui seni dan muzik di mana kebanyakan artis baharu muncul dari abu konflik dan terus berminat untuk menjalin masa depan yang cerah untuk negara mereka dan diri mereka sendiri.
Di bawah slogan ‘Lebih baik menyalakan lilin daripada terus gelap dengan kutukan’, Sekolah Seni Baghdad untuk muzik dan ekspresif telah diadakan baru-baru ini bersempena festival tahunan yang meliputi pelbagai persembahan antaranya pertunjukan balet dan muzik yang diadakan di Teater Nasional Iraq di ibu kota Baghdad.
Manakala di belakang pentas, atmosfera dipenuhi dengan tekanan tenaga, pemuzik muda sedang menyesuaikan biola mereka, mencuba peralatan muzik dan gitar mereka, manakala penari balerina pula meletakkan rosin di kasut pointe mereka dan mengangkat bahu mereka sebelum membuat persembahan di atas panggung.
“Ia merupakan mesej kepada dunia bahawa tidak ada siapa yang boleh ‘membunuh’ keindahan Baghdad. Di sekolah, kami akan terus bertahan sehingga ke nafas terakhik bagi mempamerkan imej bandar kami yang paling indah dan permai,” kata Zina Faidhi, pengarah balet di sekolah tersebut kepada media Xinhua.



Di atas pentas, para pemuzik mempersembahkan pelbagai alunan muzik di depan 1,000 penonton seperti Masterpieces of Bach, Shostakovich dan Impressive Display.
“Ia seperti satu bentuk keingkaran. Kami masih lagi muda dan ingin menjalani kehidupan ini sebagaimana yang kami suka dan tidak ada sesiapa pun yang akan menghentikan kami,” kata Tia Ammar, pelajar dan pemain piano kepada media Xinhua, merujuk kepada kritikan dan ancaman terhadap sekolahnya pada tahun lepas.
Kritikan dan ancaman
Selepas festival tahunan yang berlangsung pada bulan April 2018, pihak sekolah telah menerima banyak kritikan dan ancaman yang dikirimkan oleh pelampau yang tidak dikenali di laman web media sosial. Tetapi kritikan dan ancaman tersebut tidak dapat menghentikan Ammar yang berkeras untuk menunjukkan kebanggannya terhadap apa yang dilakukannya. “Pada satu hari nanti, mereka akan mengasihi kami,” katanya dengan penuh yakin.
Selepas sahaja pencerobohan dan penaklukan AS di Iraq pada tahun 2003, negara ini telah menyaksikan peningkatan ekstremisme agama yang membangkitkan banyak parti-parti Islam, yang sedikit sebanyak melumpuhkan pergerakan artistik di negara itu sehingga membatasi hak dan kebebasan kaum wanita.
“Sesetengah penduduk sering mengkritik kami dan berkata tarian balet adalah haram malah mereka terus membenci terhadap apa jua yang kami lakukan yang dianggap begitu indah, tetapi Baghdad adalah sebuah bandar yang indah dan itulah hakikatnya,” kata Faidhi, yang memilih untuk ikut serta dalam persembahan tarian dan berlatih bersama dengan para pelajar yang lain.
Seni dan budaya dipinggirkan
Seni dan budaya tidak pernah menjadi keutamaan bagi pemerintahan pasca-pencerobohan dan sebagai tambahan kepada peningkatan ekstremisme yang mempengaruhi pelajarnya, sekolah itu telah mengalami kemerosotan dan krisis pendanaan selama enam belas tahun.
Annie Melconian mengajar biola di sekolah secara sukarela kerana sebahagian besar guru yang dikontrak telah meninggalkan sekolah itu kerana guru tersebut tidak menerima gaji selama dua tahun.
“Kebanyakan guru telah berhenti dan ramai pelajar mendapati diri mereka tidak mempunyai guru, saya merasa kasihan dengan mereka,” kata Melconian, yang pada asalnya adalah ahli biola di Orkestra Simfoni Kebangsaan Iraq.
Melconian berasal dari minoriti Kristian Iraq dan dia juga salah seorang konduktor Sharagan Koir dari Gereja Armenia di Baghdad. Baru-baru ini, seorang artis seni dari Iraq, Zaid Al-Ani mengadakan galeri seni di bawah nama ‘Imagine’ di sebuah dewan di Institut Perancis di Baghdad.
Al-Ani telah mempamerkan beberapa koleksi lukisan-lukisan berbentuk geometri yang dilukis dengan warna hitam dan putih, di mana dia menggunakan bentuk manusia dengan cara yang tertentu.
“Di bandar ini walau apapun keadaan yang paling sukar pun, anda akan mendapati para artis seni akan terus mengekspresikan diri mereka melalui bentuk lukisan dan ia tidak akan pernah berhenti,” kata Al-Ani yang berusia 48 tahun kepada media Xinhua.
Walaupun selama bertahun-tahun tidak pernah menerima sokongan atau bantuan, Al-Ani berkata bahawa penduduk Iraq sangat mencintai kehidupan, tekun, tabah dan aktif dalam produksi serta saya menganggap ini adalah satu tindakan keberanian, jelas Al-Ani kepada media. – Xinhua