Artis Zambia bantu belia berniaga

LUSAKA – Bagi kebanyakan orang muda di Bandar Mtendere, Lusaka, ibu kota Zambia, Pusat Seni Manja berfungsi sebagai ruang rekreasi dan batu loncatan untuk perniagaan berasaskan seni.

Selain menjadi pusat penjualan karya seni yang mapan, pusat itu juga menyediakan latihan percuma dalam pembuatan kraf tangan dan melukis kepada para belia yang berminat menjadikan seni sebagai andalan mereka.

Dan sebagai cara mendorong kanak-kanak untuk tidak terjerumus dalam pelbagai masalah, pusat ini juga menawarkan pelajaran seni percuma untuk memenuhi keperluan rekreasi mereka.

“Kami mengadakan kelas seni untuk kanak-kanak pada bukan waktu persekolahan dan selepas waktu sekolah. Kanak-kanak datang untuk melukis dan memainkan alat muzik tradisional. Ideanya adalah untuk memastikan mereka tidak didorong ke kegiatan terlarang,” jelas Kelvin Mwanza, pengasas Pusat Seni Manja.

Artis berusia 35 tahun itu mendedahkan pusat itu memberi ruang kepada seniman muda untuk mempamerkan dan menjual karya mereka. Ini adalah untuk membantu usahawan muda me-nemukan jejak mereka dalam perniagaan seni dan kraf.

Dua orang pemuda menunjukkan kraf tangan dijual di Pusat Seni Manja. – Xinhua
Kelvin Mwanza, pengasas Manja Arts center, berdiri bersama lukisannya di pusat seni berkenaan di Mtendere Township Lusaka, Zambia. – Xinhua

Menurut Mwanza, dia terdorong untuk datang ke Pusat Seni Manja tiga tahun lalu setelah sebilangan besar pemuda menunjukkan minat terhadap karya seni.

“Ramai anak muda biasa datang dan melihat saya menghasilkan lukisan atau kraf tangan. Walaupun berminat, ramai di antara mereka tidak mampu mendaftar di institusi seni yang mapan. Itu mendorong saya untuk datang ke pusat ini,” katanya.

Mwanza menambah sejak penubuhannya pada tahun 2018, pusat itu telah melatih dan membimbing lebih daripada 150 orang muda di Bandar Mtendere dan sekitarnya.

Christabel Tembo, seorang pemuda yang telah mendapat bantuan daripada program latihan kemahiran pusat mengatakan yayasan tersebut telah memberi dia dan remaja lain kemahiran yang menjana pendapatan.

“Dalam masa tiga bulan saya berada di Pusat Seni Manja, saya dapat membuat anting-anting, gelang dan beberapa hiasan rumah.

“Saya berhasrat untuk belajar bagaimana membuat kraf tangan lain sehingga dapat meningkatkan pendapatan saya,” kata Tembo.

Seorang lagi pemuda John Jere yang mengikuti pelajaran melukis di sana mengatakan membuat dan menjual karya seni akan membolehkannya bebas dari segi kewangan.

“Ada banyak peluang bekerja sendiri dalam seni dan kraftangan kerana industri seni itu sendiri memiliki banyak komponen.

“Sebagai contoh, seseorang dapat memilih untuk menghasilkan lukisan atau fokus pada pembuatan kraf tangan tradisional,” tegas Jere. – Xinhua