Saturday, October 5, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Artisan Beppu hasilkan karya seni buluh rumit

    BEPPU, OITA – Seorang tukang dengan cekap menggerakkan jarinya sambil menganyam bakul bunga yang rumit menggunakan keratan buluh, setiap satunya hanya setebal kira-kira setengah milimeter.

    “Lapan puluh peratus daripada keseluruhan kerja ini adalah membuat keratan-keratan ini,” kata Kenichi Otani, 57, pakar kraf tradisional yang mengendalikan studio kraf buluh Chikufusha di Beppu, wilayah Oita, Jepun. “Ia adalah tugas yang sangat penting,” tambahnya.

    Buluh kayu Jepun, yang dikenali sebagai madake, ditanam di wilayah itu digunakan kerana kualitinya yang tahan lasak dan berdaya tahan. Buluh itu dibelah dua berulang-ulang kali dengan menggunakan pisau khas sehingga kelebaran yang dikehendaki tercapai.

    Kemudian, tukang yang lain akan mengupas kulit dalaman buluh dan menggunakan dua jenis bilah – habatori dan sukisen – untuk menjadikan keratan yang telah dikupas itu seragam dari segi kelebaran dan ketebalannya.

    Lebih daripada 200 corak anyaman boleh dihasilkan menggunakan hanya lapan kaedah anyaman, termasuk segi empat dan segi enam.

    Pelbagai bakul yang diperbuat daripada buluh. – Gambar Yomiuri Shimbun
    Otani menganyam keratan buluh di Beppu, Wilayah Oita. – Gambar Yomiuri Shimbun
    Sebuah pasu buluh dipelihara dalam bekas akrilik. – Gambar Yomiuri Shimbun

    Kraf buluh berkembang di Beppu semasa zaman Edo (1603-1867). Dengan bandar tersebut menjadi destinasi mata air panas utama, Beppu menarik pelancong dari seluruh negara. Jualan penapis makanan dan barangan keperluan harian yang lain berkembang pesat.

    Kraf buluh menjadi lebih kukuh sebagai industri tempatan di Beppu pada era Meiji (1868-1912), sebahagiannya disebabkan oleh penubuhan institusi untuk membangunkan tukang-tukang yang mahir. Pada tahun 1979, ia telah dikenal pasti sebagai kraf tradisional.

    Pusat Latihan Kraf Buluh Wilayah Oita di Beppu menghasilkan kira-kira 10 tukang setiap tahun.

    Otani, yang pernah bekerja sebagai tukang landskap di Hokkaido, merupakan salah seorang graduan pusat itu. Dia membuka studionya sendiri pada tahun 2005 dan kini bekerja dengan dua tukang yang lebih muda.

    Dengan peningkatan penggunaan plastik dan perubahan gaya hidup, permintaan terhadap produk kraf buluh seperti bakul dan peralatan dapur telah berkurangan. Untuk mengatasi trend itu, Otani mahu ‘menawarkan produk buluh baharu kepada orang di Jepun dan luar negara yang sesuai dengan gaya hidup moden’.

    Sejak 10 tahun lalu, dia telah bekerjasama dengan syarikat perunding seni yang berpangkalan di Tokyo untuk mencipta aksesori, pasu rumit, dompet dan produk lain untuk dijual di kedai-kedai reka bentuk dalaman di Tokyo. Produk Otani juga dijual di sebuah galeri di New York. Buluh dihargai di luar negara sebagai bahan mesra alam.

    “Tiada dua buluh yang sama dari segi kelasakan dan daya tahannya,” kata Otani.

    “Saya berharap rasa kemesraan yang unik terhadap bahan semula jadi dapat dirasai melalui kraf buluh ini.” – ANN/Japan News

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda