SANTIAGO, 4 MEI – Bintang bola sepak Chile, Arturo Vidal, telah dibebaskan daripada sebarang tuduhan berhubung kes serangan seksual yang dikaitkan dengan satu kejadian di sebuah kelab malam di ibu negara Chile, kata pihak pendakwa raya pada Jumaat.
Wanita itu menuduh Vidal, 37, dan pemain lain melakukan serangan seksual di sebuah kelab Colo Colo di mana pemain bola sepak itu meraikan hari lahir pada 4 November.
“Kami telah berjaya menyusun semula kronologi kejadian pada hari tersebut dan secara keseluruhannya, tiada bukti yang menyokong pertuduhan ke atas Arturo Vidal,” katanya pendakwa raya Felipe Cembrano menerusi rakaman video yang dikirim kepada media tempatan.
Bagaimanapun, beberapa lagi pemain pasukan itu yang tidak dinamakan masih berada dalam siasatan pihak berkuasa.
Vidal yang pernah beraksi bersama kelab-kelab ternama Eropah seperti Barcelona, Bayern Munich, Juventus dan Inter Milan, kembali ke kelab asalnya Colo Colo tahun lalu – kelab yang memperkenalkan beliau ke pentas profesional ketika berusia 17 tahun.
Dia merupakan anggota penting dalam generasi emas bola sepak Chile yang mencipta sejarah menjulang trofi Copa America pada tahun 2015. – AFP
