KUALA LUMPUR, 2 DIS – Skuad hoki lelaki Malaysia bertekad meneruskan momentum kemenangan untuk mengatasi Ireland pada separuh akhir Kejohanan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2022 di Afrika Selatan, esok.
Ketua jurulatihnya, A Arulselvaraj berkata skuad ‘Speedy Tigers’ yang bangkit daripada kekalahan tipis kepada Korea Selatan untuk mara ke separuh akhir dengan menewaskan Kanada dan Jepun, mempunyai semangat yang tinggi untuk meneruskan rentak cemerlang mereka.
Beliau turut berharap aksi menentang pasukan ranking ke-12 dunia itu yang dijadualkan pada waktu cuaca panas, jam 1:30 tengah hari waktu tempatan di Stadium NWU Astro, Potchefstroom, dapat memberikan kelebihan kepada anak buahnya yang menghuni ranking ke-10 dunia. – Bernama
