Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arun Raj berhabis wang untuk bawa pulang emas SUKMA 2024

    KUCHING, 20 OGOS – Sanggup berhabis wang demi menuntut ilmu, Arun Raj Ram Bharat tidak kisah mengeluarkan duit poket sendiri hampir RM200 sebulan untuk perbelanjaan pengangkutan ke pusat latihan di Klang, Selangor.

    Perit jerih itu nyata berbaloi apabila atlet taekwondo berusia 19 tahun itu berjaya menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Terengganu pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

    “Banyak cabaran saya kena lalui. Yang paling (diingati) ialah masalah pengangkutan. Saya tinggal di Shah Alam, Selangor, nak pergi latihan lima kali seminggu (di Klang) perlu naik Grab manakala balik nanti ayah ambil.

    “Ya (memang duit sendiri) tapi kadang-kadang ayah tolong,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Arun Raj berkata beliau menjalani latihan di Klang sejak Oktober hingga Disember tahun lepas, disusuli awal tahun ini di Terengganu sebelum di Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur menjelang SUKMA 2024 apabila diserap dalam program bakat taekwondo.

    Gambar Canva

    Pada aksi final kategori lelaki bawah 74 kilogram menyaksikan anak sulung daripada dua adik-beradik itu menumbangkan Low Zhan Feng, 2-0, untuk muncul atlet taekwondo Terengganu ketiga menyumbang pingat emas buat negeri itu.

    Anak jati Perak itu berkata beliau mula menceburkan diri dalam taekwondo ketika berusia 10 tahun apabila keluarga menggalakkannya menjadi seorang yang kuat menghadapi dugaan.

    “Saya pernah cedera banyak kali tetapi tidak pernah menyerah kalah kerana setiap kali jatuh, memang akan bangkit semula. (Semalam) ibu dan ayah berpesan supaya saya melakukan yang terbaik,” katanya.

    Sementara itu, atlet Perak Ri Ky Chong dan T. Jeevithan dari Negeri Sembilan berkongsi pingat gangsa selepas ditewaskan lawan masing-masing pada peringkat separuh akhir.

    Saingan bawah 62 kg wanita pula menyaksikan wakil Wilayah Persekutuan Nur Izzati Najwa Mohd Zaki perlu bekerja keras untuk mengesahkan gelaran juara sebelum berjaya menumbangkan Sara Nur Ibtisam Safawi dari Terengganu, 2-1.

    Wannur Syifa Mohd Riduan dari Perak dan wakil Johor, Masturina Mahadzir pula berkongsi pingat perak bagi acara sama. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda