Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS akan terus pastikan rantau Indo-Pasifik bebas dan terbuka

    SINGAPURA, 24 OGOS – Amerika Syarikat (AS) akan meneruskan dasar rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka yang dapat memelihara kepentingannya dan rakan serta sekutunya, kata Naib Presiden, Kamala Harris.

    Harris yang melakukan lawatan rasmi ke Singapura berkata, sejak sekian lama AS mengetengahkan visi keamanan dan kestabilan bagi rantau ini.

    “Kebebasan pelayaran di laut, dagangan yang tidak terganggu serta memacu hak asasi manusia. Komitmen terhadap ketenteraman berasaskan peraturan antarabangsa dan mengiktiraf kepentingan bersama adalah suatu yang tidak boleh diambil mudah,” katanya ketika berucap mengenai dasar luar AS bagi rantau Indo-Pasifik, di sini hari ini.

    Ucapannya disiarkan secara langsung oleh Kedutaan AS di Singapura, dengan kerjasama Sekolah Dasar Awam Lee Kwan Yew.

    “Sekarang, ketika kita berdepan dengan ancaman terhadap ketenteraman itu, saya berada di sini untuk menegaskan kembali komitmen kami terhadap visi itu. Untuk mengukuhkannya serta memastikan ia mampu mendepani cabaran hari ini dan esok.

    “Untuk melakukannya, kita akan meluangkan masa kita, tenaga kita untuk mengukuhkan hubungan dengan rakan kongsi utama kita termasuk dengan Singapura dan Vietnam,” katanya sambil menambah, hubungan berkenaan akan bersandarkan kepada ‘ketelusan, keterbukaan, menyeluruh dan inklusif terhadap kepentingan dan manfaat bersama.’

     Sebagai tambahan terhadap usaha mengukuhkan kerjasama dua hala, AS juga akan terus menyertai kerjasama pelbagai hala menerusi institusi yang sudah bertapak kukuh seperti ASEAN, yang menurut Harris sebagai ‘ terus kekal menjadi seni bina rantau ini’.

    “Saya percaya apabila sejarah kurun ke-21 terlakar, kebanyakannya akan tertumpu di sini, di rantau Indo-Pasifik.

    “Hasrat kami adalah untuk mengukuhkan perkongsian dan visi bersama supaya Amerika dengan rakan kongsinya, dapat bersama-sama terus melakarkan sejarah itu.

    “Bagi melaksanakannya, pasti tidak syak lagi, kita perlu mempertahankan kepentingan rantau ini dan kita mesti mempertahankan juga komitmen. Komitmen itu sudah pasti, termasuk aspek keselamatan,” katanya.- Bernama

    Naib Presiden AS, Kamala Haris menyampaikan ucapan di Garden by the Bay, Singapura sebelum berlepas ke Vietnam pada pusingan kedua lawatannya ke Asia Tenggara, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda