KAHERAH, 28 MEI – Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi menggesa dua pihak yang bertelagah di Sudan untuk melanjutkan gencatan senjata yang akan berakhir esok, selepas pertempuran selama berminggu-minggu yang menemui jalan buntu di ibu kota dan kawasan lain di negara Afrika itu.
Tentera Sudan dan musuhnya pasukan separa tentera, berperang untuk mengawal Sudan sejak pertengahan April, pada minggu lalu bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata selama seminggu, yang diaturkan oleh AS dan Arab Saudi.
Walau bagaimanapun, gencatan senjata itu, yang sama seperti sebelum ini, tidak mampu menghentikan pertempuran di ibu kota Khartoum dan di kawasan lain di negara itu.
Dalam kenyataan bersama pada awal hari ini, AS dan Arab Saudi menggesa untuk melanjutkan perjanjian gencatan senjata yang bakal mansuh pada Isnin, 9:45 malam waktu tempatan.
“Meskipun tidak sempurna, pelanjutan itu tetap akan memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan untuk rakyat Sudan,” menurut kenyataan.
Kenyataan turut menggesa tentera kerajaan Sudan dan musuhnya, Rapid Support Forces (RSF) untuk terus berunding bagi mencapai persepakatan melanjutkan gencatan senjata.
Pertempuran bermula pada pertengahan April antara pihak tentera dan RSF. Kedua-dua jeneral tentera, Jeneral Abdel-Fattah Burhan dan pemimpin RSF, Mohammed Hamdan Dagalo mengetuai rampasan kuasa pada 2021 yang menggulingkan kerajaan perdana menteri yang disokong Barat, Abdalla Hamdok.
Ia telah menukar Khartoum dan bandar Omdurman menjadi medan pertempuran. Peperangan turut menular di kawasan lain negara itu, termasuk wilayah Darfur yang bergolak.
Konflik itu telah mengorbankan ratusan jiwa, mencederakan ribuan penduduk dan memaksa negara itu menjadi hampir lumpuh. Ia juga memaksa lebih 1.3 juta orang keluar dari rumah untuk mencari kawasan selamat di Sudan atau negara jiran. – AP