RIYADH, 14 MEI – Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi menandatangani perjanjian pertahanan bernilai hampir AS$142 bilion kelmarin, yang disifatkan Rumah Putih sebagai ‘perjanjian jualan pertahanan terbesar dalam sejarah.’
Menurut kenyataan di laman sesawang rasmi Rumah Putih, perjanjian itu menyasarkan untuk membekalkan Arab Saudi dengan kelengkapan dan perkhidmatan peperangan canggih daripada lebih puluhan firma pertahanan AS.
Ia meliputi lima bidang utama iaitu pemodenan tentera udara dan keupayaan angkasa lepas, pertahanan udara dan peluru berpandu, keselamatan maritim dan pesisir pantai, keselamatan sempadan dan pemodenan pasukan darat, serta penaiktarafan sistem maklumat dan komunikasi.
“Pakej ini turut merangkumi latihan dan sokongan meluas bagi memperkukuh keupayaan angkatan bersenjata Arab Saudi, termasuk pemantapan akademi ketenteraan dan perkhidmatan perubatan tentera,” menurut kenyataan itu.
Rumah Putih menyatakan perjanjian itu mencerminkan pelaburan besar dalam pertahanan dan keselamatan serantau Arab Saudi yang berpaksikan sistem serta latihan Amerika.
Selain sektor pertahanan, Rumah Putih turut mengumumkan perancangan kerjasama dipertingkat dengan Arab Saudi dalam sektor kritikal seperti kesihatan, tenaga dan sains.
Ia termasuk usaha bersama dalam pembangunan infrastruktur tenaga, penerokaan sumber galian dan mineral, misi angkasa lepas bersama, serta Perjanjian Pengangkutan Udara moden bagi membolehkan perkhidmatan kargo terus antara kedua-dua negara. – Bernama
