Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS arah diplomat keluar dari Myanmar

    YANGON, 31 MAC – Amerika Syarikat (AS) hari ini mengarahkan diplomatnya yang tidak terbabit urusan penting untuk keluar dari Myanmar berikutan keganasan semakin meningkat selepas rampasan kuasa tentera menggulingkan Aung San Suu Kyi.

    Tunjuk perasaan harian telah mendesak pemulihan kerajaan yang dipilih berdepan tindakan keras tentera yang mengorbankan lebih 520 orang awam dalam masa beberapa minggu sejak rampasan kuasa tentera 1 Februari lalu.

    Tindak balas ganas junta tentera mencetuskan kecaman antarabangsa – dan ancaman balas daripada beberapa kumpulan bersenjata etnik Myanmar.

    Jabatan Luar AS berkata, keputusan terhadap diplomat itu diambil untuk melindungi keselamatan kakitangan dan keluarga mereka yang berada di negara tersebut.

    Pertumpahan darah tersebut telah mencetuskan kemarahan lebih 20 buah kumpulan etnik bersenjata Myanmar yang mengawal sebahagian besar wilayah terutama di rantau-rantau sempadan.

    Tiga daripadanya, Tentera Pembebasan Nasional Ta’ang, Tentera Perikatan Demokratik Bangsa Myanmar dan Tentera Arakan (AA) yang mengancam menyertai penunjuk perasaan, melainkan tentera menghentikan tindakan kekerasan.

    Walaupun ketiga-tiga kumpulan itu belum melakukan sebarang tindakan, Kesatuan Nasional Karen (KNU) dan Tentera Kemerdekaan Kachin (KIA) telah meningkatkan serangan terhadap tentera dan polis dalam beberapa hari ini.

    Sebuah balai polis di Bago dilaporkan diserang roket yang mencederakan lima pegawai semalam walaupun tidak dapat dipastikan pihak mana yang bertanggungjawab. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda