Sunday, February 9, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS arahkan pemindahan sebahagian kedutaan di Niger

    WASHINGTON, 3 OGOS – Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengarahkan pemindahan sebahagian kedutaannya di Niger, kata Jabatan Negara, seminggu selepas negara yang rapuh itu digegarkan oleh rampasan kuasa.

    “Jabatan mengarahkan agar kakitangan kerajaan AS yang tidak penting dan ahli keluarga yang layak dari Kedutaan Niamey keluar dari negara itu, kelmarin” menurut nasihat perjalanan AS yang dikemas kini untuk Niger.

    Nasihat itu memberi amaran kepada rakyat AS untuk tidak mengunjungi Niger, tetapi tidak menegah rakyat Amerika untuk meninggalkan negara Afrika Barat yang dikelilingi daratan itu. Ia sebelum ini memberitahu warga AS untuk mempertimbangkan semula perjalanan.

    “Kedutaan Besar AS di Niamey telah mengurangkan sementara kakitangannya, menggantung perkhidmatan rutin dan hanya mampu memberikan bantuan kecemasan kepada warga AS di Niger,” tambah nasihat itu.

    AS mengutuk sekeras-kerasnya penggulingan Presiden Mohamed Bazoum tetapi, tidak seperti Perancis dan negara Eropah lain, tidak mengarahkan pemindahan besar-besaran atau menangguhkan bantuannya kepada Niger, yang bernilai beberapa ratus juta dolar.

    AS telah menggantung aktiviti seperti latihan dengan pasukan Niamey.

    Setiausaha Negara, Antony Blinken bercakap dengan Bazoum untuk kali kedua dalam dua hari kelmarin, kata Jabatan Negara dalam satu kenyataan.

    “Kami mengulangi bahawa keselamatan dan keamanan Presiden Bazoum dan keluarganya adalah yang satu keutamaan,” tambahnya.

    Jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller mengatakan dalam satu kenyataan sebelum ini bahawa AS akan ‘mengekalkan keterlibatannya’ secara diplomatik di peringkat tertinggi.” – AFP

    Tentera Perancis dan rakyat Eropah kelihatan di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Diori Hamani di Niamey, 2 Ogos. AS telah mengarahkan sebahagian daripada kakitangan kedutaannya untuk keluar dari negara bergolak itu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda