Thursday, April 17, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS bangunkan bahan api hidrogen

    WASHINGTON, 13 OKT – Projek tenaga bersih di tujuh negeri dari Pennsylvania hingga ke California telah dipilih oleh pentadbiran Biden untuk program bernilai AS$7 bilion untuk memulakan pembangunan dan pengeluaran bahan api hidrogen, komponen utama agenda Presiden Joe Biden untuk memperlahankan perubahan iklim.

    Matlamat beliau adalah untuk menubuhkan tujuh hab hidrogen serantau untuk membantu menggantikan bahan api fosil seperti arang batu dan minyak dengan pembakaran yang lebih bersih iaitu hidrogen sebagai sumber tenaga untuk kenderaan, pembuatan dan penjanaan elektrik.

    Biden dijangka akan mengumumkan secara rasmi perkara itu semasa lawatan bertemakan ekonomi ke Philadelphia hari ini.

    Rumah Putih menyebut hidrogen ‘penting untuk mencapai visi presiden tentang ekonomi tenaga bersih yang kukuh’ dan pelepasan gas rumah hijau sifar bersih di Amerika Syarikat (AS) menjelang 2050.

    “Sebagai bahan api bersih, hidrogen melengkapkan peranan yang dimainkan oleh sumber tenaga bersih lain, seperti angin dan solar, untuk membantu AS mengurangkan pelepasan dalam sektor ekonomi intensif tenaga iaitu pengeluaran keluli dan simen, pengangkutan tugas berat dan perkapalan,‘’ kata Rumah Putih dalam satu kenyataan.

    Tujuh hab yang dipilih oleh pentadbiran itu akan memacu lebih AS$40 bilion pelaburan swasta dan mewujudkan puluhan ribu pekerjaan dengan gaji lumayan, kata Rumah Putih, termasuk banyak pekerjaan kesatuan yang bergaji tinggi.

    Terdapat 23 negeri untuk program bahan api hidrogen. Projek yang dipilih adalah berpangkalan di California, Washington, Minnesota, Texas, Pennsylvania, West Virginia dan Illinois. – AP

    Gambar fail bertarikh 17 September 2021 menunjukkan Toyota Prius 2021 yang menggunakan sel bahan api hidrogen dipamerkan di pameran kereta Denver di Elitch’s Gardens di pusat bandar Denver. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda