Tuesday, September 10, 2024
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS bantu SK hynix bina kilang cip baharu

    WASHINGTON, 7 OGOS – Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengumumkan ia telah bersetuju untuk memperuntukkan AS$450 juta kepada syarikat semikonduktor Korea Selatan, SK hynix, untuk membantu membina kilang pembungkusan cip di Indiana.

    Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan AS untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri semikonduktor, terutamanya untuk cip yang diperlukan dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI), atas sebab-sebab keselamatan negara dan ketika menghadapi persaingan dengan China.

    Pentadbiran Presiden Joe Biden sebelum ini telah meluluskan berbilion-bilion dolar dalam bentuk geran kepada Samsung dari Korea Selatan, Intel dari AS dan Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) bagi mengelakkan kekurangan semikonduktor elemen penting dalam ekonomi global moden.

    Perjanjian dengan SK hynix, pengeluar cip memori kedua terbesar di dunia, menawarkan syarikat tersebut dengan AS$450 juta dalam bentuk dana langsung serta AS$500 juta dalam bentuk pinjaman, menurut kenyataan Jabatan Perdagangan AS.

    Kemudahan SK hynix di Purdue University Research Park akan menempatkan ‘barisan pembungkusan semikonduktor canggih’ yang akan menghasilkan cip memori jalur lebar tinggi (HBM) generasi akan datang, mengisi ‘jurang kritikal’ dalam rantaian bekalan AS, kata jabatan itu.

    SK hynix mendominasi pasaran semikonduktor HBM dan merupakan pembekal utama untuk Nvidia, yang menguasai kira-kira 80 peratus pasaran semikonduktor AI global.

    “Cip memori canggih adalah komponen penting dalam unit pemprosesan grafik yang melatih sistem AI disebabkan kuasa pemprosesannya yang meningkat,” tambah jabatan itu. – AFP

    Seorang lelaki berjalan melintasi logo SK Hynix di luar pejabat syarikat Bundang di Seongnam pada 26 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda