Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS batal kontrak AS$590 juta dengan Moderna

    WASHINGTON, 29 MEI – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kelmarin membatalkan kontrak AS$590 juta dengan Moderna untuk membangunkan vaksin selesema burung (H5N1), kata syarikat bioteknologi AS itu.

    Ia menandakan langkah terbaharu dilakukan oleh Setiausaha Kesihatan, Robert F. Kennedy Jr bagi menentang vaksin, yang telah menghabiskan beberapa dekad mempromosikan maklumat salah tentang imunisasi.

    Kontrak itu, diumumkan pada 17 Januari tiga hari sebelum Trump mengambil alih jawatan adalah untuk vaksin mRNA yang menyasarkan strain influenza H5N1, yang telah menular pada burung dan lembu.

    Pakar telah memberi amaran virus itu boleh menular pada manusia dan mengakibatkan wabak.

    Syarikat farmaseutikal dan bioteknologi AS, Moderna, mendedahkan berita itu apabila ia mengumumkan keputusan positif daripada percubaan klinikal peringkat awal 300 orang yang direka untuk menguji keselamatan dan tindak balas imun.

    “Walaupun penamatan pembiayaan daripada HHS menambah ketidakpastian, kami gembira dengan tindak balas imun yang kukuh dan profil keselamatan yang diperhatikan dalam analisis interim kajian Fasa 1/2 vaksin H5N1 dan kami akan meneroka laluan alternatif ke hadapan untuk program ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Stephane Bancel, dalam satu kenyataan.

    “Data klinikal dalam influenza pandemik ini menggariskan peranan penting teknologi mRNA telah dimainkan sebagai tindak balas terhadap ancaman kesihatan yang muncul,” tegasnya.

    Kenyataan tersebut menambah, Moderna akan meneroka alternatif untuk membiayai pembangunan dan pembuatan vaksin itu. – AFP

    Gambar fail bertarikh 19 Julai 2022 menunjukkan vaksin Moderna COVID-19 di Jackson, Mississippi. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda