WASHINGTON, 6 NOV – Pegawai Amerika Syarikat (AS) memaklumkan bahawa kapasiti penerbangan berjadual akan dikurangkan sebanyak 10 peratus di 40 kawasan trafik udara sibuk di seluruh negara pada Jumaat, ketika penutupan kerajaan yang paling lama dalam sejarah negara itu masih berlarutan.
Agensi-agensi persekutuan mula lumpuh sejak Kongres gagal meluluskan pembiayaan selepas 30 September, menyebabkan kira-kira 1.4 juta pekerja kerajaan persekutuan, termasuk pengawal trafik udara dan renjer taman, masih dipaksa cuti atau bekerja tanpa gaji.
“Akan berlaku pengurangan kapasiti sebanyak 10 peratus di 40 lokasi kami,” kata Setiausaha Pengangkutan Sean Duffy dalam sidang media di Rumah Putih kelmarin, sambil menambah bahawa pengurangan itu akan berkuat kuasa pada Jumaat.
Ketua Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Bryan Bedford, menjelaskan bahawa pengurangan itu akan melibatkan “40 pasaran dengan trafik tinggi.”
Senarai rasmi lapangan terbang yang terjejas dijangka diumumkan hari ini, namun menurut laporan media AS, pengurangan penerbangan akan berlaku di beberapa lapangan terbang paling sibuk di negara itu termasuk Chicago, Dallas, Los Angeles, New York, Miami dan Washington.

Menurut satu sumber yang enggan dikenali kepada ABC News, penerbangan
antarabangsa tidak akan terjejas oleh langkah tersebut.
Laporan media juga menyebut bahawa pengurangan penerbangan akan bermula pada kadar empat peratus pada Jumaat dan meningkat secara beransur-ansur hingga 10 peratus.
AFP menghubungi Jabatan Pengangkutan dan FAA bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai lapangan terbang yang terlibat.
Syarikat penerbangan United Airlines dalam satu kenyataan di media sosial memaklumkan bahawa “penerbangan jarak jauh antarabangsa dan antara hab utama tidak akan terjejas.”
Lebih daripada 10,000 penerbangan ke atau dari AS mengalami kelewatan hujung minggu lalu, menurut perkhidmatan penjejakan penerbangan FlightAware. – AFP

