WASHINGTON, 28 MEI – Amerika Syarikat (AS) membatalkan status istimewa Hong Kong yang termaktub dalam perundangan AS, membuka ruang untuk keistimewaan perniagaan bandar itu dilucutkan, tatkala Washington menuduh China melangkaui autonomi wilayah itu.
Keputusan itu dibuat ketika parlimen China bakal mengundi undang-undang keselamatan baharu Hong Kong hari ini, langkah yang mencetuskan protes terbaharu.
Di bawah perundangan yang diluluskan tahun lalu untuk menyokong penunjuk perasaan pro-demokrasi di Hong Kong, pentadbiran AS mesti memperakui bandar itu masih menikmati kebebasan yang dijanjikan Beijing ketika perundingan dengan Britain.
“Tiada mana-mana individu yang munasabah boleh mengesahkan hari ini Hong Kong masih memiliki autonomi dari China, berdasarkan apa yang sedang berlaku,” kata Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, menegaskan hab perdagangan itu tidak berhak untuk terus mendapatkan status istimewa.
Ia bermakna Hong Kong mungkin kehilangan hak istimewa dalam urusan perdagangan dengan negara ekonomi terbesar dunia itu, termasuk tarif lebih rendah berbanding tanah besar.
Bagaimanapun, Presiden AS, Donald Trump, adalah individu yang akan memutuskan langkah mana yang bakal dilaksanakan, kata pegawai tertinggi kerajaan AS untuk Asia Timur, David Stilwell.
“Semua langkah akan dipertimbangkan dan ia akan disasarkan untuk mengubah sikap,” kata Stilwell kepada pemberita, di samping mengakui Beijing mungkin tidak akan mengubah pendiriannya. – AFP