AS benar dos vaksin penggalak berbeza

WASHINGTON, 19 OKT – Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) bersedia untuk membenarkan dos vaksin penggalak koronavirus berbeza, yang mana orang ramai mendapat suntikan tambahan berlainan daripada dos vaksin yang mula-mula mereka terima, menurut laporan media AS.

Memetik sumber terdekat, New York Times melaporkan FDA mungkin membuat pengumuman esok apabila mereka juga dijangka meluluskan penggalak untuk vaksin Moderna dan Johnson & Johnson (J&J).

Kajian awal yang dikeluarkan oleh AS minggu lalu menunjukkan mereka yang menerima vaksin J&J mungkin menerima manfaat dari dos penggalak yang berlainan, vaksin messenger-RNA seperti Pfizer atau Moderna.

Namun beberapa laporan yang membincangkan perkara yang sama menyebut satu suntikan mungkin tidak digalakkan ke atas dos yang lain, dan FDA mengatakan menggunakan vaksin yang sama adalah lebih digalakkan bila perlu.

Sokongan untuk mencampurkan dan memadankan memberikan manfaat dari segi pengagihan vaksin yang dipermudahkan dan memastikan mereka yang memerlukan penggalak boleh mendapatkannya tanpa mengira jenis suntikan yang mereka terima sebelum ini.

Gambar fail bertarikh 23 Disember 2020 menunjukkan vaksin Moderna di Denver. FDA berkata mereka akan membenarkan mencampurkan dan memadankan vaksin penggalak dalam usaha untuk memudahkan pengagihan vaksin. – AP

‘’Dari segi pandangan kesihatan awam, terdapat keperluan yang jelas dalam beberapa situasi bagi individu untuk menerima vaksin berbeza,’’ kata Amanda Cohn, pegawai kanan di FDA, memberitahu New York Times.

Pada Julai, ketua saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Soumya Swaminathan berkata mencampurkan dan memadankan vaksin adalah ‘di luar data dan tanpa sebarang bukti’.

Kajian AS mengenai penggalak sangat terhad.

Jumlah penyertaan adalah terlalu sedikit dan tindak balas imun mungkin berubah melebihi 15 hari pemantauan semasa kajian.

Di AS, golongan berusia 65 tahun ke atas dengan keadaan kesihatan berisiko tinggi dan mereka yang mempunyai pekerjaan yang sering terdedah kepada virus layak untuk diberikan dos penggalak. – AFP