WASHINGTON, 24 JUN – Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) memutuskan kelmarin bahawa rakyat Amerika kini mempunyai hak asasi untuk membawa pistol di tempat awam.
Ia merupakan suatu keputusan berpengaruh dengan implikasi yang meluas bagi negeri dan bandar di seluruh negara itu yang berhadapan dengan lonjakan keganasan senjata api.
Keputusan tersebut sekali gus membatalkan undang-undang New York yang berkuat kuasa lebih dari satu abad yang memerlukan seseorang membuktikan bahawa mereka mempunyai keperluan mempertahankan diri yang sah bagi menerima permit untuk membawa pistol tersembunyi di luar rumah.
Manakala di lima buah negeri lain, termasuk California dan Washington mempunyai undang-undang yang sama dan keputusan itu akan menyekat keupayaan mereka untuk menghalang orang ramai daripada membawa senjata api di khalayak ramai.
Presiden Demokrat, Joe Biden mengecam keputusan tersebut, berkata ia ‘bercanggah dengan akal budi dan Perlembagaan, serta akan menyusahkan kita semua’.
Walaupun desakan semakin meningkat bagi mengehadkan senjata api selepas dua tembakan besar-besaran yang mengerikan pada Mei lalu, mahkamah berpihak kepada plaintif yang mengatakan Perlembagaan AS menjamin hak untuk memiliki dan membawa senjata api secara sah.
Keputusan itu adalah yang pertama oleh mahkamah dalam kes Pindaan Kedua yang besar sejak 2008, apabila rakyat Amerika diberi hak menyimpan pistol di rumah. – AFP
