Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS benarkan Korea Selatan bina kapal selam berkuasa nuklear

    GYEONGJU, KOREA SELATAN, 30 OKT – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini mengumumkan beliau telah memberikan kelulusan kepada Korea Selatan untuk membina kapal selam berkuasa nuklear, sehari selepas kedua-dua negara mencapai perjanjian perdagangan menyeluruh.

    Trump bertemu dengan Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung kelmarin di bandar Gyeongju, di mana pemimpin AS itu tiba untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

    Kelmarin, seorang pegawai kanan Presiden Korea Selatan berkata kedua-dua negara telah mencapai kesepakatan meliputi pelaburan dan pembinaan kapal, sementara Trump menyatakan bahawa perjanjian tersebut ‘hampir dimuktamadkan’.

    “Saya telah memberikan mereka kebenaran untuk membina kapal selam berkuasa nuklear, bukan kapal selam diesel lama yang jauh kurang tangkas,” kata Trump di platform media sosialnya, Truth Social, hari ini.

    Dalam satu hantaran berasingan, Trump menulis, “Korea Selatan akan membina kapal selam berkuasa nuklearnya di Philadelphia Shipyards, di sini di AS.

    Industri pembinaan kapal di negara kita akan mencatat kebangkitan besar-besaran!”

    Sementara itu, Lee dalam pertemuan tersebut memohon agar Trump membenarkan Korea Selatan menerima bahan api bagi kapal selam berkuasa nuklear. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda