Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS benarkan syarikat Korea guna visa B-1

    SEOUL, 1 OKT – Amerika Syarikat (AS) mengesahkan bahawa ia akan terus membenarkan syarikat Korea Selatan menggunakan visa B-1 untuk memasuki negara itu bagi tujuan memasang, menyelenggara dan membaik pulih peralatan bagi projek pelaburan, kata Kementerian Luar Korea Selatan hari ini.

    Sumber industri Korea Selatan memberitahu AFP bahawa membenarkan pekerja masuk menggunakan visa B-1 atau melalui program pengecualian visa, yang membolehkan lawatan perniagaan tetapi bukan pekerjaan, ‘adalah amalan biasa’.

    Bagaimanapun, visa tersebut menarik perhatian selepas ratusan rakyat Korea Selatan, kebanyakannya dengan visa B-1, ditahan bulan lalu di sebuah kilang bateri Hyundai-LG yang sedang dibina di Georgia.

    Washington dan Seoul menubuhkan kumpulan kerja susulan insiden itu dan mengadakan mesyuarat pertama, kelmarin, bagi membincangkan kelancaran kemasukan warga perniagaan Korea yang terlibat dalam projek pelaburan di AS.

    Kementerian Luar Korea Selatan berkata hari ini kedua-dua pihak telah menjelaskan skop aktiviti yang dibenarkan di bawah visa B-1 (perniagaan sementara).

    “Pegawai AS mengesahkan bahawa syarikat Korea boleh menggunakan visa B-1 untuk aktiviti seperti memasang, menyelenggara dan membaik pulih peralatan yang dibeli dari luar negara bagi projek pelaburan di AS,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

    Seoul dan Washington turut bersetuju untuk membuka kaunter khas pelabur di Kedutaan AS di Seoul pada bulan ini.

    Timbalan Setiausaha Negara AS, Christopher Landau, yang menghadiri sesi pembukaan, berkata beliau ‘mengalu-alukan kemasukan kakitangan Korea yang terlibat dengan projek tersebut.’

    Visa diperlukan untuk kerja manual di AS, tetapi kelulusan menjadi lebih sukar di bawah pentadbiran Trump, menyebabkan syarikat mencari alternatif lain. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda