WASHINGTON, 20 APRIL — Penggodam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kerajaan Rusia telah melancarkan serangan siber ke atas loji air perbandaran di kawasan luar bandar Texas pada musim bunga lalu.
Di Muleshoe, sebuah bandar kecil yang mempunyai populasi sekitar 5,000 orang, telah mengalami gangguan sistem sehingga menyebabkan air mula melimpah di loji tersebut.
Pihak berkuasa terpaksa mematikan sistem automatik dan mengendalikan operasi loji secara manual bagi mengelakkan kerosakan lanjut.
Pihak berkuasa mendapati pencerobohan itu bertujuan bagi menguji kelemahan infrastruktur awam di Amerika Syarikat. Ia juga merupakan satu amaran. Dalam abad ke-21 ini, bukan hanya keselamatan pada sempadan geografi, tetapi kekuatan tentera juga diperlukan untuk memastikan keselamatan AS.
Setahun kemudian, negara-negara di seluruh dunia kini memperkukuh pertahanan digital masing-masing bagi menghadapi potensi konflik siber yang lebih serius.

Ketegangan geopolitik yang meningkat serta kebarangkalian tercetusnya perang perdagangan telah meningkatkan risiko serangan siber, yang bukan sahaja boleh menyebabkan kerugian kepada ekonomi negara tetapi juga terhadap sistem awam penting, malah kemungkinan berupaya untuk membocorkan rahsia perniagaan dan kerajaan.
Gabungan faktor ini mendorong pakar keselamatan negara dan siber memberi amaran tentang ancaman yang semakin meningkat serta perlumbaan senjata digital apabila negara-negara mula meningkatkan pertahanan mereka.
Dalam masa yang sama, Presiden Donald Trump telah menggugat sistem pertahanan digital Amerika dengan memecat jeneral bertaraf empat bintang yang mengetuai Agensi Keselamatan Negara (NSA).
Hal ini dilakukan bagi mengecilkan agensi keselamatan siber dan memotong inisiatif keselamatan siber pilihan raya.
Menurut pakar dasar keselamatan siber kerajaan, Verona Johnstone-Hulse “Debu geopolitik masih belum reda. Apa yang akan menjadi norma baharu masih belum ditentukan.”
Menurut naib presiden kanan strategi siber di Contrast Security, Tom Kellermann, “Perang hibrid akan kekal dan tiba masanya untuk memaksa pihak lawan pula berada dalam posisi bertahan.” – AP