Wednesday, July 16, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS ‘berjaya’ lancarkan serangan ke tapak nuklear Iran – Trump

    WASHINGTON, 22 JUN – Presiden Donald Trump berkata kelmarin tentera AS telah melakukan ‘serangan yang sangat berjaya’ ke atas tiga tapak nuklear Iran, termasuk kemudahan pengayaan uranium bawah tanah yang penting di Fordo.

    Trump berkata, “muatan yang penuh dengan bom” telah digugurkan terhadap Fordo, dalam satu pengumuman mengejut yang dibuat hanya dua hari selepas dua minggu untuk ruang diplomasi.

    “Kami telah menyelesaikan serangan yang sangat berjaya ke atas tiga tapak Nuklear di Iran, termasuk Fordow, Natanz, dan Esfahan,” kata Trump dalam catatan di platform Truth Socialnya.

    “Satu muatan penuh dengan BOM telah digugurkan di tapak utama, Fordow.”

    Trump menambah bahawa, “semua pesawat selamat dalam perjalanan pulang. Tahniah kepada Pahlawan Amerika kita yang hebat.”

    Dalam catatan kedua yang mengumumkan ucapannya kepada negara dari Rumah Putih, Trump berkata bahawa, “Iran kini mesti bersetuju untuk tamatkan perang.”

    Beliau juga menyifatkan ia sebagai detik ‘bersejarah’ bagi Amerika Syarikat, Israel dan dunia.

    Terdahulu, terdapat laporan bahawa pengebom B-2 AS yang membawa bom ‘bunker buster’ telah menuju keluar dari Amerika Syarikat (AS).

    Bagaimanapun, Trump tidak menyatakan jenis pesawat atau peluru AS yang terlibat.

    Tehran pula telah mengancam tindakan balas terhadap tentera AS di Timur Tengah jika Trump menyerang tetapi presiden AS berkata bahawa, “Sekarang masa untuk keamanan!”

    Presiden Iran, Masoud Pezeshkian telah memberi amaran awal kelmarin mengenai tindakan balas yang ‘lebih dahsyat’ sekiranya kempen pengeboman selama sembilan hari Israel diteruskan, dengan mengatakan republik Islam itu tidak akan menghentikan program nuklearnya ‘dalam apa jua keadaan’. – AFP

    Imej satelit yang disediakan oleh Maxar Technologies menunjukkan pusat kemudahan pengayaan Fordo di Iran pada 24 Januari. Trump dakwa serangan berjaya dilakukan. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda