Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS biayai AS$6.6 bilion bina kilang TSMC

    WASHINGTON, 15 NOV – Amerika Syarikat (AS) akan menganugerahkan pembiayaan langsung berjumlah AS$6.6 bilion kepada gergasi cip Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) untuk membantu membina beberapa kilang di AS, kata pegawai hari ini, sekali gus memuktamadkan perjanjian itu sebelum pentadbiran baharu mengetuai Rumah Putih.

    “Perjanjian terakhir hari ini dengan TSMC pengeluar terkemuka dunia bagi semikonduktor paling canggih akan merangsang pelaburan swasta berjumlah AS$65 bilion untuk membina tiga kemudahan terkini di Arizona,” kata Presiden Joe Biden dalam satu kenyataan.

    Pengumuman pentadbiran Biden dibuat sejurus sebelum Presiden terpilih Donald Trump memegang jawatan. Trump baru-baru ini mengkritik Akta CHIPS, undang-undang utama yang diluluskan semasa penggal Biden yang bertujuan untuk mengukuhkan industri semikonduktor AS.

    Sementara kerajaan AS telah melancarkan lebih AS$36 bilion dalam bentuk geran melalui akta ini, termasuk penganugerahan kepada TSMC, kebanyakan dana masih dalam fasa penilaian dan belum diagihkan.

    Setelah perjanjian dimuktamadkan, dana boleh mula disalurkan kepada syarikat yang telah memenuhi kriteria tertentu.

    “Buat masa ini, AS tidak membuat sebarang semikonduktor canggih di negara kami, dan ini adalah kali pertama kami dapat mengatakan kami akan membuat cip canggih ini di AS,” kata Setiausaha Perdagangan, Gina Raimondo ketika membuat pengumuman terbaharu melibatkan TSMC.

    “Saya ingin mengingatkan semua orang bahawa ini adalah semikonduktor yang menjalankan AI dan pengkomputeran kuantum. Ini adalah cip yang terdapat dalam peralatan ketenteraan yang canggih,” tambah Raimondo.

    Pengeluaran semikonduktor berkenaan di AS, katanya, membantu menangani liabiliti keselamatan negara.

    Kilang pertama daripada tiga kemudahan TSMC dijadualkan dibuka sepenuhnya pada awal 2025, kata Biden. – AFP

    Gambar fail menunjukkan logo TSMC semasa Ekspo Innotech Taiwan di Pusat Dagangan Dunia di Taipei, Taiwan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda