WASHINGTON, 7 APRIL – Seorang kanak-kanak yang masih lagi bersekolah telah menjadi mangsa kedua dalam kes wabak campak yang kini menular di barat daya AS, menurut pihak berkuasa kesihatan pada Ahad. Setakat ini, hampir 650 kes jangkitan dilaporkan.
“Kami amat sedih untuk melaporkan seorang kanak-kanak yang baru-baru ini telah disahkan dijangkiti campak telah meninggal dunia,” kata Naib Presiden Pusat Perubatan UMC Health System, Aaron Davis kepada AFP.
Kanak-kanak itu dirawat akibat komplikasi campak dan disahkan tidak menerima vaksin serta tiada masalah kesihatan sedia ada.
Ketika AS bergelut dengan wabak campak terburuk dalam beberapa tahun, Setiausaha Kesihatan, Robert F. Kennedy Jr., yang sebelum ini pernah meremehkan kepentingan vaksin, kini menggesa orang ramai mengambil suntikan MMR (campak, beguk dan rubela).
Kennedy memaklumkan pihaknya bersama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) sedang menggiatkan pengagihan vaksin di Texas dan beliau sendiri telah melawat negeri itu untuk memberikan sokongan kepada keluarga mangsa.

Setakat Ahad, sebanyak 642 kes campak disahkan di 22 negeri, dengan 499 daripadanya di Texas.
Presiden Donald Trump telah menyifatkan wabak itu masih ‘kecil’ tetapi memberi amaran tindakan lebih tegas akan diambil jika ia terus merebak, kenyataannya kepada pihak media setempat.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengesahkan wabak campak kini merebak dari Alaska hingga ke Florida, termasuk New York City.
Texas sebelum ini melaporkan kematian pertama akibat campak pada akhir Februari lalu melibatkan seorang kanak-kanak yang menjadi kematian pertama di AS akibat penyakit itu dalam tempoh hampir sedekad.
Bulan lalu, seorang dewasa di New Mexico turut disahkan meninggal dunia akibat jangkitan campak, menurut CDC.
Setakat 3 April, CDC memaklumkan 97 peratus daripada kes yang direkodkan membabitkan individu yang tidak menerima vaksin campak.
Setakat ini, 196 pesakit berumur bawah lima tahun, 240 berumur antara 5 hingga 19 tahun, 159 lagi berumur 20 tahun ke atas. Beberapa kes lagi membabitkan pesakit yang belum dikenal pasti umurnya. – AFP