NEW YORK (AP) – Kadar kematian anak damit di Amerika Syarikat (AS) meningkat 3 peratus tahun lepas – peningkatan terbesar dalam dua dekad, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Anak damit kulit putih dan asli Amerika, anak damit lelaki dan anak yang lahir pada 37 minggu atau lebih awal mengalami peningkatan kadar kematian yang ketara. Laporan CDC, yang diterbitkan hari ini, juga mencatat peningkatan yang lebih besar untuk dua punca utama kematian anak damit – komplikasi ibu dan meningitis bakteria.
“Ia pasti membimbangkan, memandangkan ia menuju ke arah yang bertentangan daripada apa yang berlaku,” kata Marie Thoma, penyelidik Universiti Maryland yang mengkaji kematian ibu dan anak.
Dr Eric Eichenwald, pakar neonatologi yang berpangkalan di Philadelphia, menyifatkan data baharu itu ‘membimbangkan,’ tetapi berkata pakar pada ketika ini hanya boleh membuat spekulasi mengapa statistik yang secara amnya telah jatuh selama beberapa dekad meningkat dengan mendadak pada 2022.
Kematian anak damit adalah ukuran bilangan anak yang mati sebelum mereka mencapai hari lahir pertama mereka.
Kadar kematian anak damit AS adalah lebih teruk daripada negara berpendapatan tinggi lain, yang dikaitkan oleh pakar dengan kemiskinan, penjagaan pranatal yang tidak mencukupi dan kemungkinan lain. – AP