LOS ANGELES, 10 JULAI – Jumlah kes campak di Amerika Syarikat (AS) mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh lebih 30 tahun, menurut data yang dikeluarkan kelmarin oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.
Sebanyak 1,288 kes campak disahkan di seluruh negara setakat ini pada 2025, dengan 13 peratus daripada pesakit dimasukkan ke hospital, menjadikannya tahun terburuk sejak 1992, yang merekodkan 2,126 kes.
Kes-kes itu dilaporkan di 38 negeri di seluruh AS, dengan Texas mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 753 kes.
CDC turut memaklumkan bahawa 92 peratus daripada kes melibatkan individu yang tidak menerima vaksin atau tidak diketahui status vaksinasinya. – Bernama
