LONDON, 10 JUN – Delegasi peringkat tinggi dari Amerika Syarikat (AS) dan China bertemu di London kelmarin dalam usaha memulihkan gencatan senjata yang rapuh dalam pertikaian perdagangan yang telah menggoncang ekonomi global.
Delegasi China diketuai oleh Naib Perdana Menteri He Lifeng, manakala delegasi AS termasuk Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick, Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent dan Wakil Perdagangan Jamieson Greer. Rundingan diadakan di Lancaster House, sebuah rumah agam bersejarah berusia 200 tahun berhampiran Istana Buckingham.
Menteri Perdagangan China, Wang Wentao, turut menyertai pertemuan tersebut.
Rundingan itu menyusuli perbincangan di Geneva bulan lalu, yang berjaya membawa kepada penangguhan sementara perang tarif antara kedua-dua negara gergasi ekonomi dunia itu. Pada 12 Mei, kedua-dua pihak bersetuju untuk menangguhkan selama 90 hari kebanyakan tarif melebihi 100 peratus yang telah mereka kenakan antara satu sama lain.
Namun begitu, sejak rundingan di Geneva, hubungan dua hala kembali tegang berikutan pertikaian mengenai cip semikonduktor berprestasi tinggi untuk kecerdasan buatan (AI), visa pelajar China ke AS dan mineral ‘nadir bumi’ yang penting kepada industri automotif dan teknologi.
Presiden Donald Trump sebelum ini telah menghubungi Presiden China Xi Jinping menerusi panggilan telefon pada Khamis lalu, dalam usaha mengembalikan hubungan ke landasan diplomatik yang lebih stabil. Keesokan harinya, Trump mengumumkan melalui media sosial bahawa rundingan perdagangan akan disambung di London.
Rundingan dijangka berterusan sehingga hari ini, dengan harapan untuk mencapai kemajuan konkrit bagi mengelakkan ketegangan baru yang boleh mencetuskan kemelesetan global.
Laporan dagangan China menunjukkan eksport ke AS merosot 35 peratus pada bulan Mei berbanding tahun sebelumnya, satu isyarat jelas akan impak serius perang perdagangan terhadap ekonomi kedua-dua negara dan pasaran global. – AP
