Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS, China paling terdedah kepada kerosakan iklim

    PARIS, 20 FEB – Pusat perindustrian dan ekonomi utama di China dan Amerika Syarikat (AS) adalah antara kawasan yang paling terdedah di dunia kepada cuaca ekstrem yang didorong oleh perubahan iklim, menurut penganalisis, hari ini.

    Dapatan baharu itu menunjukkan keperluan mendesak bagi kerajaan untuk memberi tumpuan kepada langkah penyahkarbonan dan penyesuaian kepada kalis banjir, dan menunjukkan kesan ekonomi akibat perubahan iklim boleh menjadi serius dan meluas.

    Sembilan daripada 10 buah kawasan yang paling terdedah adalah di China, dengan dua daripadanya ialah kawasan ekonomi sub-nasional terbesar di negara itu – Jiangsu dan Shandong – berada dalam senarai teratas global menurut Inisiatif Ketergantungan Silang (XDI)

    Selepas China, AS menjadi negara paling berisiko tinggi. Florida, berada di senarai ke-10 global, merupakan negeri AS yang paling terdedah, diikuti oleh California dan Texas.

    China, India dan AS membentuk lebih separuh negeri dan wilayah di kedudukan 100 teratas.

    “Kami menerima petunjuk yang sangat jelas dari negara-negara seperti China, AS dan India, dan kami melihat kepentingan pemacu ekonomi global di mana ia membangunkan banyak infrastruktur,” kata Karl Mallon, ketua sains dan inovasi XDI, semasa sidang media.

    Analisis mendapati bahawa kedua-dua banjir di darat dan pantai menimbulkan risiko terbesar kepada infrastruktur fizikal. Laporan itu juga mengkaji bahaya haba melampau, kebakaran hutan, pergerakan tanah, angin melampau dan pencairan beku.

    Analisis meliputi lebih 2,600 buah kawasan di seluruh dunia, memodelkan contoh kerosakan dari 1990 hingga 2050 berdasarkan senario ‘pesimistik’ pemanasan global dengan peningkatan 3 darjah Celsius menjelang penghujung abad ini seperti yang digariskan oleh Panel Antara Kerajaan PBB mengenai Perubahan Iklim. – AFP

    Pusat perindustrian dan ekonomi utama di China dan AS merupakan antara kawasan yang paling terdedah di dunia kepada cuaca ekstrem yang didorong oleh perubahan iklim.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda