AS: Dakwaan vaksin selesema penyebab COVID-19 tidak benar

WASHINGTON, 18 OKT – Pihak berkuasa kesihatan di Amerika Syarikat (AS) kini perlu berdepan kumpulan yang giat menyebarkan dakwaan palsu mengenai vaksin selesema.

Penyebaran maklumat salah khususnya di media sosial menyukarkan usaha untuk membendung kesesakan di hospital yang kini terlalu sibuk menguruskan pesakit COVID-19.

Antara maklumat palsu yang disebarkan adalah vaksin selesema menyebabkan risiko jangkitan COVID-19.

Satu maklumat palsu di Facebook dan Instagram mendakwa vaksin selesema meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 sebanyak 36 peratus selain dakwaan bahawa pengambilan vaksin Fluzone adalah 2.4 kali lebih berbahaya berbanding COVID-19.

Satu kajian dari Universiti Michigan mendapati satu daripada tiga ibu bapa merancang untuk tidak mengambil vaksin selesema untuk anak mereka tahun ini dengan kepercayaan bahawa vaksin berkenaan tidak berkesan.

Vaksin selesema, Fluzone yang dihasilkan oleh Sanofi Pasteur Inc. – AP

“Penjaga perlu memainkan peranan penting pada musim selesema ini.

“Mereka perlu menyampaikan maklumat yang tepat berkaitan kepentingan vaksin selesema,” kata Sarah Clark, saintis penyelidikan di Pusat Penyelidikan dan Penilaian Kesihatan Kanak-kanak Michigan.

Berikutan jumlah jangkitan COVID-19 yang terus meningkat di AS, maklumat palsu menyukarkan usaha menggalakkan orang ramai mengambil vaksin.

Menurut Pusat Kawalan Penyakit AS (CDC), hanya 49.2 peratus individu mendapatkan vaksin selesema pada 2018-2019.

Pakar vaksin di Pusat Kawalan Penyakit British Columbia, Danuta Skowronski berkata, pihaknya melihat tiada kaitan antara vaksin selesema dan risiko COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak atau dewasa. – AFP